JENAYAH & MAHKAMAH

750 liter petrol bersubsidi Malaysia dirampas di Sungai Golok

KOTA BHARU – Pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 750 liter petrol bersubsidi Malaysia yang dipercayai cuba diseludup masuk ke selatan Thailand dalam operasi rondaan sempadan di sepanjang Sungai Golok, kelmarin.

Rampasan itu dilakukan pasukan rondaan bergerak Platun Perlindungan Sempadan 1 pada kira-kira jam 5.15 petang (waktu Thailand) selepas menemui 25 tong berisi petrol berkenaan yang ditinggalkan di tebing sungai berhampiran Kampung Mue Ba, Mukim Pasemas, Daerah Sungai Golok.

Jurucakap keselamatan Thailand berkata, lokasi penemuan itu terletak bertentangan dengan Rantau Panjang, Kelantan, dan petrol terbabit dipercayai baru sahaja diseludup dari Malaysia.

“Pasukan rondaan menemui 25 tong mengandungi kira-kira 750 liter petrol Malaysia yang ditinggalkan di tebing sungai.

“Hasil pemeriksaan di kawasan sekitar tidak menemui mana-mana individu kerana mereka dipercayai melarikan diri sebelum pasukan rondaan tiba,” memetik Buletin TV3 online.

Menurutnya, siasatan sedang dipergiatkan bagi mengenal pasti individu yang terlibat dalam sindiket penyeludupan bahan api rentas sempadan itu.

Beliau berkata, rampasan tersebut menunjukkan komitmen berterusan pihak berkuasa Thailand dalam membanteras aktiviti penyeludupan serta memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan.

Petrol yang dirampas kemudiannya diserahkan kepada Pusat Pemeriksaan Kastam Sungai Golok dan Cawangan Pejabat Eksais Narathiwat di Sungai Golok untuk siasatan lanjut serta tindakan undang-undang.

Pasukan keselamatan Thailand turut memaklumkan rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi mengekang kegiatan penyeludupan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button