JENAYAH & MAHKAMAH

Anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan guna dadah

IPOH -Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengambil dadah di sebuah pusat hiburan, tiga bulan lalu.

Tertuduh Mohammad Aizat Zamli, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret S. Punitha sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, anggota Balai Polis Segamat itu didakwa menggunakan bahan terlarang jenis ketamine dan MDMA (methylenedioxy-methamphetamine).

Perbuatan itu dilakukan di Bilik VIP 1, Wisma Wolley, Jalan Canning Estate, Taman Ipoh, di sini, jam 5.04 pagi 5 April 2026.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, jika disabitkan kesalahan.

Seksyen 38B(1) pula memperuntukkan perintah pengawasan untuk tempoh tidak kurang dua tahun namun tidak melebihi tiga tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadzrah Badarudin.

Muhammad Zulqarnain memohon satu tarikh sebutan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam, serta menawarkan jaminan RM4,000 kepada tertuduh.

Nur Nadzrah memohon jaminan minimum kerana mengambil kira pendapatan tertuduh yang bertugas di Segamat RM3,000 sebulan dan menjaga bapa yang sudah tua biarpun masih bujang.

Majistret kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dan menetapkan 26 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button