BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Gaduh di kedai makan: Polis Johor Bahru Selatan jalankan siasatan segera

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat insiden pergaduhan yang dipercayai membabitkan sekumpulan lelaki dengan dua individu di sebuah kedai makan di Permas Jaya di sini, semalam, susulan laporan polis yang diterima daripada salah seorang mangsa.

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan dipercayai membabitkan sekumpulan lelaki dan dua individu di sebuah kedai makan dipercayai di Permas Jaya, Johor Bahru. – Foto media sosial

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini hanya satu laporan dibuat, iaitu pada pukul 9.12 malam oleh seorang daripada mangsa kejadian.

“Buat masa ini, siasatan akan dimulakan berdasarkan laporan yang diterima. Tiada laporan lain dibuat termasuk oleh pemilik premis mahupun seorang lagi mangsa,” katanya memetik laporan BH Online.

Insiden itu mencuri perhatian ramai selepas satu rakaman video berdurasi satu minit 29 saat tular di media sosial.

Rakaman berkenaan memaparkan suasana beberapa orang awam sedang menjamu selera di sebuah kedai makan sebelum empat lelaki berpakaian gelap dilihat berlegar-legar di kawasan premis.

Tidak lama kemudian, kumpulan lelaki terbabit menghampiri meja yang diduduki dua mangsa dan kelihatan berbual sebelum seorang daripada mereka bertindak memukul salah seorang mangsa.

Keadaan menjadi lebih tegang apabila sekumpulan lelaki berpakaian hitam, dipercayai lebih 20 orang, tiba-tiba muncul dari pelbagai arah dan menyerang kedua-dua mangsa berkenaan.

Bagaimanapun, serangan itu dilaporkan hanya berlangsung kira-kira 35 saat sebelum beberapa orang awam cuba campur tangan, menyebabkan kumpulan lelaki terbabit meninggalkan lokasi kejadian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button