Loke dakwa ada ‘penderhaka’ cuba jatuhkan Tok Min ketika krisis Negeri Sembilan
KUALA PILAH – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mendakwa terdapat pihak yang cuba menjatuhkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun ketika berlaku krisis politik di negeri itu baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, tindakan berkenaan berlaku ketika sepatutnya semua pihak bekerjasama dan bersatu bagi memastikan kestabilan kerajaan negeri, namun ada pihak yang didakwa bertindak menarik sokongan terhadap pentadbiran sedia ada.
“Bukan orang yang akan tikam belakang kita. Bukan orang yang bila ada krisis di Negeri Sembilan, sepatutnya kita bersatu, bekerjasama, tapi ini dia tikam belakang, tarik sokongan cuba jatuhkan kerajaan Tok Min.
“Tak perlu saya namakan orang itu,” katanya berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, di Dataran Melang, di sini, malam tadi.
Baca juga : PRN Negeri Sembilan: Anthony Loke pertahan DUN Chennah
Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, PH akan memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dengan calon Menteri Besar yang jelas, iaitu Aminuddin, yang menurutnya mampu meneruskan agenda pembangunan negeri.
Beliau berkata, seluruh jentera PH perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan gabungan itu terus mendapat mandat rakyat.
“Malam ini kita akan mulakan chapter baharu, bina momentum semula di Negeri Sembilan. Kita akan mulakan pusingan kedua selepas keputusan di Johor tidak memihak kepada kita, tetapi tidak ada masa untuk berduka cita.
“Negeri Sembilan adalah homeground PH dan kita akan pastikan PH menang,” katanya.
Loke berkata, semua 36 calon PH perlu bergerak bersama selain memastikan parti komponen PKR, Amanah dan DAP memainkan peranan masing-masing sepanjang kempen.
Katanya, PH sudah membina pasukan yang mantap sejak 2008 dan pengalaman itu perlu digunakan bagi menghadapi PRN kali ini.
Beliau berkata, PH telah membuktikan kemampuan mentadbir Negeri Sembilan sejak 2018 termasuk meningkatkan pelaburan serta mengekalkan kestabilan kerajaan negeri ketika berlaku Langkah Sheraton yang menyebabkan beberapa kerajaan negeri tumbang.
Dalam pada itu, Loke turut mengingatkan petugas PH supaya menjaga tatasusila sepanjang kempen terutama ketika menyentuh institusi Raja Berperlembagaan dan sistem adat Negeri Sembilan.
Beliau berkata, DAP sentiasa menjunjung Perlembagaan serta menghormati institusi Undang di Negeri Sembilan.
“Saya ingatkan semua wakil rakyat kita taat setia kepada Raja Berperlembagaan. Dalam sistem Raja Negeri Sembilan, kita taat setia kepada Undang dan sistem adat di Negeri Sembilan,” katanya.
Loke turut menolak penggunaan sentimen perkauman dalam kempen, sebaliknya menegaskan PH mahu membawa politik yang inklusif dengan sokongan semua kaum.
Katanya, slogan “Kekal Harapan” bukan sekadar slogan, tetapi usaha mempertahankan harapan rakyat Negeri Sembilan untuk melihat negeri itu terus maju.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







