POLITIK

Gelar Anthony Loke ‘Undang’: UMNO Negeri Sembilan gesa Menteri Besar ambil tindakan

SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan mengecam tindakan seorang pegawai kepada Menteri Besar Negeri Sembilan yang menggelarkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Undang yang kelima dalam satu video tular kelmarin.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Saiful Yazan Sulaiman berkata, institusi adat di negeri itu bukan bahan jenaka politik dan perbuatan tersebut sebagai tidak wajar serta menunjukkan kegagalan pihak berkenaan dalam menghormati institusi warisan negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa gelaran Undang bukan bahan jenaka politik. Gelaran tersebut mempunyai kedudukan, sejarah dan kemuliaannya yang tersendiri dalam sistem Adat Perpatih dan kenegaraan Negeri Sembilan.

“Perbuatan mengaitkan mana-mana pemimpin politik dengan gelaran Undang, walaupun atas alasan gurauan atau sindiran, adalah tidak wajar, tidak sensitif dan menunjukkan kegagalan memahami nilai serta kedudukan Institusi Adat Negeri Sembilan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya berasa kecewa apabila perkara tersebut datang daripada individu yang berada dalam lingkungan pentadbiran kerajaan negeri, yang sepatutnya menjadi contoh terbaik dalam menjaga adab dan protokol institusi.

Sehubungan itu, Saiful Yazan mendesak Menteri Besar Negeri Sembilan supaya tidak berdiam diri atau menganggap isu tersebut sebagai perkara remeh.

“Menteri Besar tidak boleh berdiam diri atau berpura-pura menganggap perkara ini remeh.

“Kegagalan bertindak hanya akan memberikan gambaran bahawa sikap memperlekehkan institusi adat turut diterima dan dibenarkan oleh pentadbiran kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menuntut pegawai yang terlibat untuk memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Negeri Sembilan dan institusi Undang yang empat tanpa sebarang alasan bagi menunjukkan rasa tanggungjawab.

Saiful Yazan menegaskan bahawa maruah Negeri Sembilan tidak boleh dipermainkan demi agenda politik mana-mana pihak, memandangkan institusi adat adalah maruah dan identiti sebenar negeri ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button