JENAYAH & MAHKAMAH

Berdepan 6 pertuduhan amang seksual, guru pelatih mengaku tidak bersalah

IPOH – Seorang guru pelatih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki, minggu lalu.

Di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, tertuduh, Muhammad Mifdzal Mohd Zalani Sham, 25, memohon dibicarakan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan enam perbuatan cabul sebagai bentuk amang seksual fizikal terhadap seorang murid lelaki berusia 14 tahun tiga bulan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Chakadi, di sini, antara jam 1 pagi hingga 7.26 pagi, pada 5 Julai lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Raveenaa, manakala tertuduh diwakili peguam Ameer Firdaus Mohd Amir.

Raveenaa menawarkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan, selain syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis.

Bagaimanapun, Ameer Firdaus memohon jaminan lebih rendah iaitu RM5,000 bagi tiga pertuduhan pertama dan RM5,000 lagi bagi tiga pertuduhan seterusnya.

Beliau berkata, anak guamnya yang juga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bukan dalam kategori berisiko tinggi untuk melarikan diri dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Tertuduh kini sedang menunggu keputusan peperiksaannya sahaja. Tertuduh merupakan guru praktikal dan sekarang menunggu panggilan temu duga.

“Beliau datang ke mahkamah hari ini bukan dengan tangan bergari kerana sudah dilepaskan dengan jaminan polis. Tertuduh yang berasal dari Pulau Pinang sedia beri kerjasama penuh kerana berhasrat membersihkan namanya untuk beliau teruskan karier sebagai penjawat awam,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 bagi kes pertama dan RM5,000 bagi kes kedua dengan seorang penjamin serta menetapkan 20 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button