Penganggur mohon ampun, mengaku tidak bersalah atas dakwaan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak
JOHOR BAHRU — Seorang penganggur, Hishamudin Kumaran Abdullah, 54, merayu kemaafan di hadapan mahkamah hari ini sambil mengatakan itu adalah kali terakhir beliau melakukan kesalahan setelah dihadapkan atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun minggu lalu.
Hishamudin bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nor Aziati Jaafar.
Menurut kertas pertuduhan, kejadian berlaku di sebuah surau dekat Taman Hidayat, Pekan Nenas, Pontian, kira-kira pukul 7.40 malam, 8 November lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin membantah sebarang jaminan terhadap tertuduh dengan alasan bukti pendakwaan kukuh termasuk rakaman CCTV surau yang menunjukkan keberadaan tertuduh dan mangsa pada waktu kejadian.
“Pertuduhan ini melibatkan kanak-kanak dan merupakan kesalahan serius dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
“Tertuduh juga mempunyai rekod jenayah lampau sejak 1993 hingga 2008 termasuk dua kes cabul dan gangguan seksual,” katanya memetik laporan BH Online.
Hishamudin yang tidak diwakili peguam, berkata beliau hidup susah dan tiada keluarga.
“Semua dah buang saya. Saya duduk surau atau masjid, pergi dakwah, sembahyang kuat. Saya tak ada kerja, sekarang OKU. Mata sebelah tak nampak, kaki pun cacat, tak tahu mana nak duduk, sebab itu saya jadi macam ini,” katanya.
Mahkamah kemudian menolak permohonan jaminan dan menetapkan kes untuk sebutan semula pada 16 Januari 2026 bagi serahan dokumen.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, polis menerima laporan daripada bapa mangsa selepas seorang imam surau memaklumkan kanak-kanak itu didekati seorang lelaki yang tidak dikenali ketika menunggu solat Isyak.
“Hasil siasatan mendapati lelaki itu meraba kanak-kanak terbabit dan memberi RM10 kepada mangsa sebelum melakukan perbuatan cabul.
“Mangsa memaklumkan kepada imam dan polis menahan lelaki berkenaan yang mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








