BERITA SEMASA

Bekalan bahan api negara mencukupi, kerajaan kekal kawal harga – PM

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara kekal mencukupi walaupun berdepan ketidaktentuan akibat konflik berpanjangan di Selat Hormuz yang memberi kesan kepada pasaran minyak global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kestabilan bekalan tenaga selain melindungi rakyat daripada tekanan kenaikan kos susulan peningkatan harga minyak dunia.

“Harga minyak mentah Brent yang mencecah AS$81 (RM330) setong pada 14 Julai tidak akan menjejaskan komitmen kerajaan untuk mengekalkan kestabilan harga bahan api domestik.

“Kerajaan menganggarkan jumlah subsidi produk petroleum bagi tahun ini mencecah RM40 bilion berikutan peningkatan kos akibat ketegangan geopolitik global.

“Perbelanjaan subsidi petroleum meningkat ketara daripada sekitar RM800 juta sebulan pada Januari dan Februari kepada RM5 bilion sebulan pada Mac serta April susulan tercetusnya konflik.

“Kerajaan terus mengekalkan harga bahan api bersubsidi menerusi BUDI95 pada RM1.99 seliter dan BUDI Diesel pada RM2.10 seliter,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, harga bahan api di Malaysia ketika ini masih lebih rendah berbanding beberapa negara pengeluar minyak seperti Qatar dan Arab Saudi yang merekodkan harga melebihi RM2.40 seliter.

“Dalam masa sama, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bantuan rakyat menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM15 bilion bagi tahun 2026, yang memberi manfaat kepada lebih sembilan juta penerima.

“Bagi memastikan bekalan tenaga negara terus terjamin, beliau berkata Malaysia turut memperkukuh kerjasama antarabangsa termasuk jaminan bekalan diesel dan minyak jangka panjang bersama Rusia,” katanya lagi.

Beliau berkata, PETRONAS akan memulakan kerja penerokaan telaga gas di Blok 9 dan 10 di Turkmenistan bermula Disember ini, yang berpotensi mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor tenaga global.

“Kerajaan turut memberi perhatian kepada kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi penyediaan dana bantuan berjumlah RM15 bilion, termasuk RM5 bilion khusus untuk usahawan Bumiputera,” katanya lagi.

Anwar turut berkata, langkah membantu peniaga kecil turut melibatkan pengurangan kos operasi apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kadar sewa premis sebanyak 50 peratus bermula 1 April 2026, manakala MARA mengurangkan kadar sewa sebanyak 20 peratus.

Mengulas cadangan supaya Parlimen dibubarkan bagi menangani ketidaktentuan ekonomi, beliau berkata tumpuan kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi berterusan.

“Rakyat mahu kestabilan dan mahu ekonomi berkembang. Janganlah kita hanya berpolitik sepanjang masa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button