LUAR NEGARA

‘Israel kehilangan sahabat sejati’ – Netanyahu

WASHINGTON – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan pemergian Senator Republikan Amerika Syarikat, Lindsey Graham sebagai kehilangan besar selepas menganggapnya sebagai ‘salah seorang sahabat sejati Israel’.

Menurut AFP, Graham meninggal dunia pada usia 71 tahun selepas mengalami penyakit yang berlaku secara singkat dan mengejut.

Bagaimanapun, laporan Forbes yang memetik kenyataan Ketua Pemeriksa Perubatan Daerah Columbia berkata, punca kematian Graham adalah disebabkan diseksi aorta akibat penyakit kardiovaskular arteriosklerotik.

“Israel kehilangan salah seorang sahabat terbaiknya. Amerika kehilangan seorang patriot hebat dan saya kehilangan seorang sahabat yang amat dihargai,” kata Netanyahu.

Graham, yang mewakili Carolina Selatan di Senat Amerika Syarikat, merupakan antara tokoh Republikan berpengaruh yang sering terlibat dalam isu pertahanan, keselamatan negara dan dasar luar Washington.

Sebelum menyertai Kongres, Graham pernah berkhidmat dalam Tentera Udara Amerika Syarikat sebagai peguam ketenteraan.

Beliau kemudian dipilih ke Dewan Perwakilan AS pada 1995 sebelum dilantik sebagai senator pada 2003.

Dari segi politik, Graham amat dikenali sebagai penyokong kuat dasar luar Amerika Syarikat dalam menjamin keselamatan Israel dan Ukraine.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button