BERITA SEMASA

Bekas Ketua UMNO Kubang Kerian meninggal dunia

KOTA BHARU – Bekas Ketua UMNO Bahagian Kubang Kerian dan tokoh veteran tentera, Datuk Muhammad Abdul Ghani meninggal dunia pada usia 82 tahun di kediamannya di Pulau Hilir, Kubang Kerian, di sini malam tadi.

Allahyarham yang juga Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kelantan menghembuskan nafas terakhir pada pukul 10.30 malam.

Pemergian beliau dimaklumkan oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Akbar Salim.

Beliau yang mewakili kepimpinan UMNO negeri turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Seluruh kepimpinan UMNO Kelantan mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan husnul khatimah kepada Allahyarham serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Sebelum itu, Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Negara sempat menghadiri program Ukhwah Madani bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di Dewan Datuk Mat Ghani, Kubang Kerian petang semalam.

Dalam majlis tersebut, beliau sempat menyampaikan ucapan kepada para hadirin sambil memaklumkan bahawa dirinya sudah berusia, kurang sihat serta mengalami sakit dada.

Muhammad bagaimanapun memberitahu tetap menggagahkan diri menghadiri program berkenaan kerana berasa sedikit lega sebelum berangkat ke majlis tersebut.

Beliau juga sempat berbuka puasa bersama ahli-ahli PVATM yang hadir sebelum pulang ke kediamannya.

Program tersebut turut dihadiri Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Datuk Dr Roslan Hussin serta Presiden PVATM, Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan dan dikafankan pada pukul 10 pagi di kediamannya di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian sebelum dibawa ke Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian. Solat jenazah akan dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Hilir yang terletak berhampiran kediamannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button