Impian McGregor kembali beraksi berkecai akibat kecederaan kaki
LAS VEGAS – Hasrat bintang seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor melakukan kemunculan semula di pentas UFC berakhir dengan kekecewaan apabila mengalami kecederaan lutut hanya seminit selepas pertarungan menentang Max Holloway pada UFC 329 di Las Vegas, hari ini.
Bekas juara dunia dua divisyen itu terpaksa menghentikan pertarungan selepas tersalah mendarat ketika melakukan sepakan terbang pada awal pusingan pertama sebelum memberi isyarat kepada pengadil bahawa beliau tidak mampu meneruskan aksi.
McGregor, 37, kemudian menjelaskan kecederaan itu berlaku secara tiba-tiba walaupun berada dalam keadaan cergas sepanjang kem latihan.
“Saya tidak mengalami sebarang kecederaan sebelum pertarungan. Saya berlatih sepakan sepanjang kem dan ketika memanaskan badan, namun perkara ini berlaku secara tiba-tiba,” katanya menerusi media sosial.
Holloway pula berkata, beliau sendiri menyedari lawannya tidak lagi mampu bertarung dan meminta pengadil menghentikan perlawanan.
“Saya beritahu pengadil dia tidak mahu berlawan kerana keadaannya tidak normal. Saya tidak mahu menewaskan lawan yang sudah cedera,” katanya.
Juara featherweight itu bagaimanapun sedia untuk mengadakan perlawanan ulangan apabila McGregor pulih sepenuhnya.
Ini merupakan pertemuan kedua antara kedua-dua petarung selepas McGregor menewaskan Holloway menerusi keputusan sebulat suara pada 2013.
Karier McGregor sebelum ini turut dibelenggu beberapa siri kecederaan dan kontroversi di luar gelanggang.
Selepas patah kaki ketika menentang Dustin Poirier pada 2021, pertarungannya dengan Michael Chandler pada 2024 dibatalkan akibat kecederaan jari kaki.
Beliau turut dikenakan penggantungan selama 18 bulan atas kegagalan mematuhi prosedur ujian antidoping, selain berdepan kes sivil berprofil tinggi di Ireland.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








