Pemain Afrika Selatan di Piala Dunia 2026 ditemukan meninggal dunia
CAPE TOWN – Pemain bola sepak Afrika Selatan, Jayden Adams, yang beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan Afrika Selatan pada Piala Dunia, ditemukan meninggal dunia pada usia 25 tahun.
Polis memaklumkan bahawa pihaknya telah memulakan siasatan berikutan penemuan jasad seorang lelaki berusia 25 tahun di sebuah rumah di Schotsche Kloof, pinggir bandar di tengah Cape Town, pagi semalam (waktu tempatan).
“Pihak polis sedang menyiasat punca kejadian,” kata jurucakap Polis Western Cape, FC van Wyk, kepada AFP.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian Adams.
Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie, dalam satu kenyataan menyatakan rasa dukacita dan terkejut beliau di atas pemergian Adams.
“Bola sepak Afrika Selatan telah kehilangan antara bakat muda paling menyerlah, dan seluruh negara turut berkabung bersama keluarga, rakan sepasukan serta jutaan penyokong yang menyaksikan beliau berkembang daripada prospek akademi yang menjanjikan kepada pemain antarabangsa penuh Bafana Bafana,” katanya dalam kenyataan itu.
Mendiang Adams, yang bermain di posisi tengah bagi pasukan Mamelodi Sundowns, diturunkan dalam aksi pembukaan kejohanan yang menyaksikan Afrika Selatan tewas 0-2 kepada Mexico serta seri 1-1 dengan Czechia, sebelum digantikan dalam kedua-dua perlawanan tersebut.
Mendiang kemudian dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kemenangan 1-0 ke atas Korea Selatan, namun tidak diturunkan dalam kekalahan 0-1 kepada Kanada pada pusingan 32 terbaik.
Adams merupakan produk akademi Stellenbosch FC dan merupakan pemain pertama daripada akademi kelab itu yang menandatangani kontrak profesional.
Mendiang membuat 139 penampilan bersama Stellenbosch serta membantu kelab itu menjulang trofi Carling Knockout 2023 sebelum menyertai Mamelodi Sundowns pada Januari 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















