
PRN Johor: Lima kerusi panas jadi penentu, Bukit Batu paling getir
JOHOR BAHRU – Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dikenal pasti sebagai antara kerusi paling panas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini susulan kemenangan tipis yang direkodkan pada pilihan raya negeri 2022.
Kerusi berkenaan ialah Bukit Batu, Bukit Pasir, Gambir, Tangkak dan Serom yang masing-masing dimenangi dengan majoriti kurang daripada 1,000 undi, sekali gus menjadikannya medan persaingan yang dijangka sengit antara parti-parti bertanding.
Daripada lima kerusi itu, DUN Bukit Batu dianggap paling kritikal apabila penyandangnya daripada Pakatan Harapan (PH), Arthur Chiong Sen Sern, hanya menang dengan majoriti 137 undi pada PRN 2022. Majoriti tersebut merupakan yang paling kecil dalam kalangan lima kerusi berkenaan.
Selain Bukit Batu, DUN Bukit Pasir yang disandang Barisan Nasional (BN) dimenangi dengan majoriti 198 undi, manakala DUN Gambir mencatat majoriti 294 undi.
DUN Tangkak pula dimenangi calon PH, Ee Chin Li dengan majoriti 372 undi, sementara DUN Serom yang turut disandang BN dimenangi dengan kelebihan 699 undi.
Keputusan tipis pada pilihan raya lalu menjadikan kelima-lima kerusi tersebut antara yang paling mendapat perhatian pada PRN Johor kali ini kerana sebarang perubahan sokongan pengundi berpotensi menentukan sama ada penyandang mampu mempertahankan kerusi masing-masing atau berlaku pertukaran wakil rakyat.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar mengundi bagi undi biasa sehingga jam 1 tengah hari mencecah 42.16 peratus, melibatkan 1,130,980 daripada 2,682,642 pengundi berdaftar.
DUN Semarang dan Sedili merekodkan peratusan keluar mengundi tertinggi setakat ini iaitu masing-masing 50.5 peratus, diikuti DUN Tanjung Surat dengan 48.6 peratus.
Sebaliknya, DUN Penggaram mencatat peratusan keluar mengundi terendah iaitu 32.2 peratus, diikuti DUN Bentayan (32.6 peratus) dan DUN Simpang Jeram (35.2 peratus).
Sebagai perbandingan, pada PRN Johor 2022, peratusan keluar mengundi setakat jam 1 tengah hari adalah 34.51 peratus melibatkan 888,605 daripada 2,574,835 pengundi berdaftar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















