PMX

Skandal 1MDB pengajaran besar, rakyat perlu hukum pihak gagal insaf – Anwar

JOHOR BAHRU – Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana menteri yang terlibat dalam rasuah atau penyelewengan wang rakyat, sebaliknya tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seseorang menteri memikul amanah besar untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukannya menyalahgunakan kuasa bagi kepentingan peribadi.

“Kalau ada kes menteri curi… tak ada kompromi. Kalau menteri curi, kita tangkap, dakwa, masuk penjara. Saya tidak peduli kerana menteri patut jaga rakyat,” katanya ketika berucap pada Grand Finale Johor ke Depan Undi Harapan di Pasir Gudang di sini malam ini.

Baca juga : PRN Johor: Anwar tolak politik perkauman, tegas semua rakyat berhak dibela

Anwar berkata, kerajaan pimpinannya komited membersihkan pentadbiran negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa yang pernah menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Menurut beliau, terdapat beberapa kes lama yang masih memerlukan masa untuk diselesaikan mengikut proses undang-undang, namun kerajaan tetap berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Beliau turut membangkitkan isu kerugian besar yang ditanggung negara akibat skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang menurutnya mencecah RM51 bilion.

Katanya, rakyat perlu mengambil iktibar daripada pengalaman itu dan tidak lagi memberi ruang kepada pihak yang gagal belajar daripada kesilapan lalu.

“Mereka tahu masalah rakyat. Mereka tahu satu dunia bercakap mengenai 1MDB. Tetapi adakah mereka belajar? Adakah mereka insaf? Tidak. Kamu yang perlu mengajar mereka. Bila? Esok, ajar mereka,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia tidak seharusnya dikenali di mata dunia kerana skandal rasuah, sebaliknya perlu dihormati sebagai sebuah negara yang mengamalkan tadbir urus baik dan berintegriti.

Beliau berkata, hanya kepimpinan yang bersih, telus dan beramanah mampu memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan hasil negara dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button