Keputusan PRN Johor tidak gugat kerjasama Kerajaan Perpaduan – Zahid
KULAI – Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak akan menjejaskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kedua-dua gabungan bertanding sesama sendiri dalam PRN Johor, hubungan antara menteri dan timbalan menteri daripada BN serta PH kekal profesional demi memastikan urusan pentadbiran negara berjalan lancar.
“Setakat ini, ia tidak mengganggu dan saya mengharapkan keadaan itu akan terus kekal kerana kita ialah menteri dan timbalan menteri yang bekerja secara profesional.
“Mungkin kita berbeza pandangan di Johor dan membangkitkan isu bagi memenangkan calon masing-masing, namun dalam setiap mesyuarat Kabinet kita tetap bermusyawarah dengan hikmah, baik dan profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Munajat Perdana dan Doa Selamat BN Parlimen Kulai, di sini hari ini.
Zahid yang juga Pengerusi BN turut menyeru semua pemimpin serta penyokong BN dan PH menerima apa jua keputusan PRN Johor dengan penuh kematangan tanpa dipengaruhi emosi.
“Ikutilah sikap dan cara pemimpin atasan yang sentiasa bergerak secara profesional,” ujarnya memetik laporan Sinar Online.
Mengulas dakwaan kononnya BN akan bekerjasama dengan Pas sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor, beliau berkata perkara itu tidak wajar dijadikan polemik.
Menurutnya, kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang menafikan dakwaan berkenaan perlu difahami dalam konteks sebenar.
“Saya fikir realiti politik perlu diterjemahkan dalam apa juga keadaan. Datuk Onn Hafiz tidak bermaksud demikian.
“Apabila menyebut mengenai sebuah parti lain yang kita tidak bersama dan tidak berhajat membentuk kerajaan dengannya, ia tidak memperlihatkan dasar perkauman kerana parti ialah parti, bukannya bangsa.
“Saya melihat Datuk Onn Hafiz sebagai seorang yang sangat berhati-hati, berhemah dan bijaksana dalam menangani isu. Saya tidak fikir perkara itu perlu dijadikan isu penting hanya beberapa jam sebelum pengundian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















