Tempoh kempen PRN Johor tamat pukul 11.59 malam ini – SPR
JOHOR BAHRU – Semua pihak yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 diingatkan supaya menghentikan segala bentuk aktiviti berkempen selepas tempoh rasmi berkempen berakhir pukul 11.59 malam ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, selepas tempoh itu, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk merayu undi di luar pusat mengundi serta menerusi hantaran di media sosial seperti Facebook, X, Instagram, TikTok, Threads dan platform lain.
“SPR turut mengingatkan bahawa semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung pada hari mengundi kerana perkara tersebut merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Selain itu, Khairul Shahril mengingatkan pengundi bahawa penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan dan sebagai peringatan, notis atau poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletakkan di luar dan di dalam tempat mengundi.
“Pengundi yang membawa telefon bimbit ke tempat mengundi perlu meletakkan telefon bimbit di tempat yang telah disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula setelah selesai mengundi,” katanya.
Khairul Shahril turut menasihatkan pengundi untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa yang digalakkan seperti yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
“Walau bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari 8 pagi hingga 6 petang atau mengikut waktu pusat mengundi diwartakan,” katanya.
Selain itu, pengundi turut diingatkan supaya membawa kad pengenalan bagi tujuan identifikasi selain dinasihatkan untuk terlebih dahulu membuat semakan maklumat pengundian bagi membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi menerusi pelbagai platform yang disediakan.
“Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya,” katanya.
Selain itu, majikan diingatkan agar membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang layak sebagai pemilih berdaftar untuk keluar mengundi dalam PRN Johor esok sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















