BERITA SEMASA

PRN Johor: SPR rekod 588 kesalahan

KLUANG – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 588 kesalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor setakat hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 44 laporan polis turut dibuat, manakala tiga daripadanya turut dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sehingga ke hari ini, sebanyak 588 kesalahan pilihan raya telah pun dilaporkan kepada SPR dan 44 laporan polis telah pun dilaporkan serta ada tiga laporan SPRM,” katanya dalam sidang media di perkarangan Dewan Mahkota, Kem Mahkota, di sini hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.

Sementara itu, berkenaan proses mengundi awal hari ini, Ramlan berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 96 peratus undi awal boleh dicapai.

“Kalau ikut pada pencapaian kita sebelum ini, undi awal ini boleh mencapai sehingga 96 peratus dan kami mengekalkan unjuran tersebut,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramlan berkata, setakat pukul 1 tengah hari tadi, jumlah peratusan keluar mengundi awal adalah sebanyak 82 peratus.

“Sebanyak 64 pusat mengundi awal telah dibuka di seluruh negeri Johor pada jam 8 pagi tadi. Terdapat beberapa kategori di mana sebanyak 29 pusat mengundi telah ditutup pada jam 12 tengah hari tadi, lima lagi ditutup pada jam 2 petang.

“Manakala 28 pusat mengundi awal lagi akan ditutup pada jam 5 petang nanti. Insya Allah, undi awal ini akan dikira pada hari mengundi sebenar pada 11 Julai dan waktu pengiraan akan bermula sekitar pukul 5 petang,” katanya lagi.

Sebelum ini, SPR melaporkan sebanyak 24,751 pengundi awal yang layak mengundi pada PRN Johor ke-16 melaksanakan tanggung jawab mereka hari ini.

Pengundi awal bagi PRN Johor kali ini terdiri daripada 12,041 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama pasangan serta 12,710 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan pasangan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button