Faezuddin tawar lima tekad utama Kempas, fokus pendidikan, kos sara hidup dan perumahan
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Faezuddin Puad menawarkan lima tekad utama sebagai komitmen untuk membangunkan kawasan tersebut secara lebih progresif, inklusif dan sejahtera.
Beliau berkata, Kempas sebagai kawasan pesat membangun dan pintu masuk utama ke Johor Bahru berdepan pelbagai cabaran termasuk kos sara hidup, isu perumahan, peluang pendidikan, kesihatan komuniti serta pembangunan belia yang memerlukan perhatian menyeluruh.
“Saya menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa bersama masyarakat, mendengar keperluan rakyat dan memperjuangkan penyelesaian yang memberi manfaat kepada seluruh warga Kempas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau betkata, antara tekad utama yang diketengahkan ialah memperkasa pendidikan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui penubuhan Pusat Hala Tuju Lepasan SPM Kempas sebagai pusat sehenti bagi membantu pelajar menentukan laluan ke institusi pengajian tinggi (IPT), TVET, politeknik, kolej komuniti dan latihan kemahiran.
“Usaha menyediakan khidmat kaunseling pendidikan dan kerjaya percuma, bantuan permohonan UPU, biasiswa serta memperluaskan kerjasama industri bagi meningkatkan peluang pekerjaan kepada anak muda,” katanya lagi.
Faezuddin turut, berjanji untuk memperluaskan Program Jualan Rahmah ke lebih banyak kawasan perumahan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) selain memastikan akses bantuan kerajaan sampai kepada golongan yang layak.
Beliau juga mencadangkan program literasi kewangan, pemerkasaan usahawan kecil serta bantuan kepada golongan rentan termasuk warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga B40.
Bagi sektor perumahan pula, beliau berhasrat memperkukuh pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas serta memastikan proses pemutihan dilaksanakan secara telus dan berhemah.
Selain itu, beliau turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan kemudahan asas PPR serta pembangunan lebih banyak Rumah Mampu Milik Johor bagi memenuhi keperluan generasi muda.
Faezuddin berkata, beliau akan memperluaskan program kesihatan komuniti, pemeriksaan berkala serta kempen kesedaran kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan belia dan pekerja bandar.
Sementara itu, dalam agenda belia dan sukan, beliau berjanji menaik taraf kemudahan sukan, menubuhkan Pusat Aktiviti Belia Kempas serta memperkenalkan Liga Sukan Komuniti Kempas bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan pembangunan bakat muda.
“Lima tekad ini bukan sekadar janji pilihan raya, tetapi pelan tindakan berpaksikan keperluan sebenar rakyat Kempas,” katanya lagi.
Faezuddin turut berkata, dengan sokongan rakyat dan aspirasi Kerajaan MADANI, Kempas mampu menjadi kawasan bandar yang lebih progresif dan berkualiti hidup tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















