BERITA SEMASA

PRN Johor: SPR jangka 70 peratus keluar mengundi esok

PONTIAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jangkaan peningkatan keluar mengundi berbanding PRN 2022 itu didorong oleh peningkatan minat masyarakat untuk terlibat dalam proses demokrasi di Johor.

“Kita melihat ada kecenderungan dan minat untuk mengundi pada kali ini agak tinggi serta kempen-kempen yang berterusan.

“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi boleh sampai sekitar 70 peratus, saya rasa semangat dalam kalangan rakyat untuk terlibat dalam proses demokrasi agak tinggi akhir-akhir ini,” katanya kepada pemberita selepas hadir meninjau proses semakan peti undi di Dewan Serbaguna Permas, di sini hari ini.

Ramlan berkata, proses semakan peti undi itu amat kritikal dan penting bagi memastikan semua peralatan yang akan digunakan esok berada dalam keadaan lengkap dan teratur.

“Proses mengundi esok akan bermula pada pukul 8 pagi, manakala kebanyakan pusat mengundi akan ditutup pada pukul 5 petang,” katanya.

Seramai 43,036 petugas SPR akan bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang PRN Johor kali ini berlangsung.

Sebagai rekod, seramai lebih 2.7 juta pemilih layak membuang mengundi pada PRN Johor kali ini di 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,849 saluran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button