LUAR NEGARA

Trump arah serangan baharu ke atas Iran

TEHRAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengarahkan satu lagi gelombang serangan ketenteraan ke atas Iran semalam sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan Tehran ke atas kapal-kapal di Selat Hormuz, sambil memberi amaran tindakan lebih keras akan diambil sekiranya insiden itu berulang.

Media kerajaan Iran melaporkan beberapa letupan berlaku di kawasan pantai selatan negara itu sejurus selepas Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan operasi ketenteraan terbaharunya.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA melaporkan, pesawat pejuang kedengaran berlegar di Pulau Kish, manakala letupan menggegarkan bandar pelabuhan Bandar Abbas, Konarak dan Chabahar dengan beberapa kawasan turut mengalami gangguan bekalan elektrik.

“Ini adalah tindak balas terhadap pengeboman kapal semalam oleh Iran. Jika ia berlaku lagi, kesannya akan menjadi lebih buruk,” kata Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.

Walaupun mengarahkan serangan balas, Trump sebelum itu berkata beliau menjangkakan konflik semasa tidak akan berpanjangan dan masih membuka ruang kepada penyelesaian menerusi rundingan diplomatik.

Dalam kenyataannya, CENTCOM memaklumkan operasi itu bertujuan melemahkan keupayaan tentera Iran yang didakwa mengancam kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia.

“Amerika Syarikat menuntut Iran bertanggungjawab atas tindakan agresif terhadap kapal-kapal komersial sejak kebelakangan ini,” menurut kenyataan CENTCOM di platform X.

Sebelum operasi terbaharu dilancarkan, Trump mengisytiharkan gencatan senjata dengan Iran telah berakhir, sekali gus mendorong Pakistan, Qatar dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak meredakan ketegangan.

Selat Hormuz terus menjadi tumpuan konflik di Timur Tengah yang tercetus sejak 28 Februari susulan serangan AS-Israel yang dilaporkan mengorbankan bekas pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Allahyarham dijadual dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad.

Sejak itu, Tehran menegaskan ia akan mengawal sepenuhnya laluan perkapalan di Selat Hormuz, termasuk mengenakan bayaran kepada kapal yang melaluinya serta mengancam mengambil tindakan terhadap kapal yang tidak mematuhi laluan ditetapkan.

Dalam perkembangan perkaitan, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menggesa semua pihak mengamalkan tahap kawalan diri yang maksimum, manakala Pakistan yang menjadi pengantara rundingan antara Washington dan Tehran turut menyeru penyelesaian secara aman.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button