BERITA SEMASA

Dakwaan syarat pekerja wanita wajib berturban perlu disiasat – Ustazah Asmak Husin

KUALA LUMPUR – Dakwaan sebuah premis perniagaan di pusat beli-belah KLCC yang didakwa mewajibkan pekerja wanita berhijab memakai turban sebagai syarat pekerjaan perlu disiasat dan tidak seharusnya dipandang ringan.

Menerusi hantaran di Facebook, Ustazah Asmak Husin berkata, pihaknya melihat isu berkenaan bukan sekadar melibatkan kod pemakaian atau imej syarikat, sebaliknya menyentuh soal hak asasi serta kebebasan beragama.

asmak
Ustazah Asmak Husin

Menurutnya, beliau terkejut apabila masih wujud aduan sedemikian pada tahun 2026, memandangkan Malaysia merupakan negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan di samping menjamin hak setiap individu untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.

“Pemilik outlet perlu faham. Ini bukan soal fesyen atau imej syarikat yang boleh ditetapkan sesuka hati. Ini soal hak asasi dan kebebasan beragama,” tegasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa di peringkat antarabangsa, instrumen hak asasi manusia melarang diskriminasi dalam pekerjaan berasaskan agama, termasuk terhadap wanita yang memilih untuk berhijab.

“Jika benar berlaku diskriminasi seperti yang didakwa, bagi saya isu ini tidak sepatutnya hanya berhenti di media sosial,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Malaysia masih ketinggalan dalam menyediakan perlindungan undang-undang terhadap pencari kerja yang didiskriminasi sebelum mereka diterima bekerja, berbeza dengan beberapa negara lain yang telah mempunyai mekanisme perlindungan sejak peringkat pengiklanan jawatan, temu duga dan proses pengambilan pekerja.

Beliau berkata, buat masa ini aduan seumpama itu masih boleh dikemukakan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia untuk disiasat dan didokumentasikan.

Dalam masa sama, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan pindaan undang-undang sedia ada bagi memastikan perlindungan daripada diskriminasi meliputi pencari kerja sejak peringkat awal proses pengambilan pekerja.

Asmak turut mengingatkan bahawa pengguna mempunyai kuasa melalui pilihan mereka untuk menyokong atau memboikot syarikat yang didakwa mengamalkan dasar bersifat diskriminatif.

“Hak untuk mencari rezeki tidak sepatutnya datang dengan syarat seseorang perlu menggadaikan prinsip yang dipegang,” katanya.

Terdahulu, tular tangkap layar mengenai perbualan seorang individu dengan pihak pengurusan premis tersebut yang mensyaratkan pemakaian turban sebagai ‘dresscode’ untuk wanita berhijab bekerja di kedai mereka.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button