JAWI nafi projek Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Hulu Semenyih diswastakan
KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menegaskan projek pembangunan Tanah Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan di Lot PT3458, Mukim Hulu Semenyih, Selangor dilaksanakan bagi mengatasi masalah kekurangan tapak pengebumian jenazah umat Islam di Kuala Lumpur yang semakin kritikal.
Menurut Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan, projek itu akan dilaksanakan menerusi kaedah pertukaran tanah antara Kerajaan MADANI dan Route Edge Sdn Bhd sebagai usaha menyediakan kemudahan tanah perkuburan yang lebih mencukupi untuk keperluan semasa dan masa hadapan.
Menerusi perjanjian tersebut katanya, syarikat berkenaan akan membina jalan pintas keluar masuk dari Sungai Lalang ke Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) sepanjang 4.34 kilometer serta menyediakan tapak perkuburan awam Wilayah Persekutuan di lokasi yang telah ditetapkan.
“Pembangunan itu berkonsepkan Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) yang mampu menyediakan sehingga 104,000 lot kubur, dengan kapasiti penggunaan dianggarkan selama 28 tahun.
“Selain tapak perkuburan, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan kemudahan sokongan seperti pejabat pentadbiran, surau, ruang pengurusan jenazah, kuarters, pondok pengawal dan infrastruktur berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, tapak perkuburan yang dijangka siap pada 2029 itu akan diserahkan kepada JAWI untuk diuruskan sepenuhnya, termasuk pengurusan jenazah, pengebumian serta penyelenggaraan sebagaimana lapan TPIRS sedia ada di Wilayah Persekutuan.
Pada masa sama katanya, pihaknya juga tidak pernah bercadang menswastakan urusan pengebumian jenazah umat Islam di Wilayah Persekutuan.
Malah katanya, tanah seluas 222.68 ekar yang terlibat dalam projek tersebut kekal di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan dan diwartakan sebagai Tanah Perkuburan Awam.
Menurutnya, penjelasan itu diharap dapat mengelakkan kekeliruan masyarakat serta memberi kefahaman bahawa projek berkenaan bertujuan memastikan kapasiti tanah perkuburan awam umat Islam mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















