PRN Johor: Balu Allahyarham Salahuddin bantu kempen Sharon di Permas
Balu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datin Seri Fatimah Taha, turun berkempen membantu calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo
PERMAS – Balu Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, Datin Seri Fatimah Taha, turun berkempen membantu calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Sharon Teo dan yakin beliau mampu meneruskan legasi perjuangan Allhyarham dalam berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, kehadirannya ke Permas pada asalnya hanya untuk bertemu Sharon selepas tidak berkesempatan menghadiri hari penamaan calon kerana berada di Kuala Lumpur.

“Pada mulanya saya hanya dimaklumkan untuk hadir pada hari penamaan calon, tetapi ketika itu saya berada di Kuala Lumpur dan tidak dapat datang. Jadi semalam saya pulang ke Johor, menghubungi Sharon dan memberitahunya saya mahu datang berjumpa,” katanya ketika ditemui pada program kempen di Permas, di sini.
Menurutnya, hubungan keluarganya dengan Sharon telah terjalin sejak beliau berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Allahyarham sehingga menjadi sebahagian daripada keluarga mereka.
“Anak-anak saya semua rapat dengan dia. Dia bebas keluar masuk rumah, makan bersama keluarga dan kami memang tidak pernah menganggapnya sebagai orang luar.
“Dari situlah kami mula percaya kepada keikhlasan dan amanah yang dibawanya. Hubungan kami bukan sekadar hubungan kerja, tetapi sudah seperti sebuah keluarga,” katanya.
Sementara itu, Sharon berkata, sambutan yang diterima sepanjang tempoh berkempen semakin menggalakkan, namun kemenangan hanya dapat ditentukan melalui jumlah pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian.
Menurutnya, Permas merupakan kawasan bandar yang memerlukan kadar keluar mengundi yang tinggi bagi memastikan setiap undi diterjemahkan kepada kemenangan.
“Sepanjang tempoh kempen, saya melihat sambutan daripada rakyat semakin meningkat dan kata-kata semangat yang diberikan juga amat menggalakkan.
“Bagaimanapun, keputusan pilihan raya bukan ditentukan oleh sambutan kempen semata-mata, sebaliknya bergantung kepada berapa ramai pengundi yang keluar mengundi pada hari pengundian nanti,” jelasnya.
Mengulas lanjut, untuk memenangi kerusi DUN Permas, Sharon berkata, tiada mana-mana calon boleh mendakwa kemenangan sebelum keputusan rasmi diumumkan.
“Saya rasa dalam setiap pilihan raya, sebelum keputusan keluar kita tidak tahu apa sebenarnya pilihan rakyat. Bagi saya, pertandingan di DUN Permas masih 50-50,” katanya.
Sharon berkata, walaupun berdepan cabaran sebagai calon yang bukan penyandang, beliau tetap bertekad memberikan yang terbaik sepanjang tempoh berkempen sebelum menyerahkan segala keputusan kepada rakyat.
Menurutnya, kehadiran Fatimah mengimbau kembali jasa, nasihat dan semangat perjuangan Allahyarham yang banyak membentuk perjalanan politik serta khidmatnya kepada masyarakat.
“Saya akan terus membawa semangat perjuangan Allahyarham, mengingati segala nasihat dan mencontohi khidmat beliau yang telah terbukti ketika menjadi Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram.
“Apa juga keputusannya nanti, saya serahkan sepenuhnya kepada rakyat pada 11 Julai,” ujarnya.
Pada PRN Johor 2022, kerusi DUN Permas dimenangi Barisan Nasional (BN).
Pada PRN kali ini, BN terus memberi kepercayaan kepada penyandangnya, Baharudin Taib untuk mempertahankan kerusi terbabit.
Selain Sharon dan Baharudin, kerusi itu turut menjadi rebutan Dr Zamil Najwah daripada Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) dan T Vela mewakili Perikatan Nasional (PN).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















