BERITA SEMASA

Operasi di Tapak Perkuburan Awam Hulu Semenyih terus berada di bawah JAWI, bukan pihak swasta – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menjelaskan operasi tapak perkuburan yang terletak di bawah Projek Pembangunan Tapak Perkuburan Awam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Hulu Semenyih akan terus berada di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

Beliau berkata, operasi itu bukannya diuruskan oleh syarikat swasta seperti yang tular di media sosial.

“Tanah projek itu kekal menjadi milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, manakala pengurusan, pentadbiran dan operasi tapak perkuburan akan terus berada di bawah bidang kuasa JAWI bukannya diuruskan oleh syarikat swasta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, projek berkenaan telah dirancang sejak 2005 demi memenuhi kepentingan awam.

Katanya, projek itu bertujuan menangani kekurangan tapak perkuburan Islam bagi warga Kuala Lumpur selain membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan Semenyih.

Pada masa sama katanya, sebanyak 10 peratus daripada kapasiti tapak perkuburan itu turut diperuntukkan kepada penduduk sekitar di Selangor sebagai manfaat bersama hasil pembangunan tersebut.

Jelasnya, kapasiti tanah perkuburan Islam sedia ada di Kuala Lumpur kini telah melebihi 70 peratus penggunaan.

“Sehingga Jun 2023, hanya kira-kira 29 peratus atau 34,496 lot masih berbaki dan dijangka hanya mampu menampung keperluan sehingga sekitar tahun 2032.

“Sehubungan itu, penyediaan tapak perkuburan baharu disifatkan sebagai keperluan mendesak bagi memastikan kebajikan umat Islam pada masa hadapan terus terjamin,” katanya.

Beliau berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan seluas 332.6 ekar.

“Di bawah perjanjian tersebut, pemaju akan menanggung sepenuhnya kos penyediaan infrastruktur termasuk kuarters, surau, pejabat pentadbiran, kafeteria, tandas, rumah pengawal serta kerja tanah bagi penyediaan 104,470 plot kubur Islam untuk Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam masa sama, jelasnya, jalan pintas sepanjang 4.3 kilometer dari Jalan Sungai Lalang ke Lebuhraya SILK yang menjadi sebahagian daripada projek itu dibina bagi mengurangkan kesesakan trafik dan menyediakan laluan alternatif kepada penduduk setempat.

Katanya, kos pembinaan jalan pintas bernilai RM93.89 juta tidak ditanggung kerajaan, sebaliknya dibiayai sepenuhnya oleh pemaju sebagai syarat pembangunan yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu beliau turut menegaskan projek tersebut telah melalui penilaian teknikal, proses Value Management Lab serta memperoleh kelulusan daripada kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan sebelum dilaksanakan.

Susulan penyebaran maklumat yang didakwa tidak sahih mengenai projek berkenaan, katanya, laporan polis telah dibuat bagi mengekang penyebaran maklumat palsu dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button