JENAYAH & MAHKAMAH

Sempat potong tali sauh, nelayan maut dalam insiden bot candat sotong karam

KUALA NERUS – Tindakan pantas seorang nelayan memotong tali sauh bagi membolehkan bot yang dinaiki 12 individu mendapatkan bantuan berakhir dengan tragedi apabila dia ditemukan meninggal dunia selepas bot tersebut karam di perairan Terengganu semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asistan Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Ahmad Nasaruddin Mohmad Jalil, 37, seorang nelayan dari Kampung Batin, maut dalam kejadian yang berlaku ketika aktiviti mencandat sotong.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada pukul 9 malam daripada seorang individu yang memaklumkan kejadian tersebut.

“Hasil rakaman percakapan awal pengadu yang juga tekong bot, Mohd Awais Sa’ari, 37, mendapati mereka bertolak dari Jeti Kampung Batin Seberang Takir pada pukul 5.30 petang untuk aktiviti mencandat sotong.

“Bot itu membawa 10 penumpang dan dua kru termasuk mangsa yang juga sepupu kepada pengadu,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Azli berkata, ketika berada di tengah laut pada pukul 8.40 malam, air laut mula memasuki ruang enjin bot dipercayai akibat keadaan laut yang bergelora.

“Air masuk dengan cepat dan mangsa sempat memotong tali sauh bagi membolehkan tekong menggerakkan bot untuk mendapatkan bantuan daripada bot lain yang berada berhampiran,” katanya.

Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian, bot tersebut karam sepenuhnya.

Tekong bot kemudian berenang sejauh 1.8 kilometer sebelum berjaya menemui sebuah bot awam yang melalui kawasan berkenaan.

Bot tersebut seterusnya menyelamatkan kesemua mangsa yang terapung di tengah laut.

Menurut Azli, ketika ditemukan, Ahmad Nasaruddin berada dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Batin, Kuala Nerus.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa. Jenazah telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk proses bedah siasat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button