Bot bawa warga Indonesia karam di perairan Pangkor: Mayat ke-10 ditemukan, empat masih hilang
IPOH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tragedi bot dipercayai membawa warga Indonesia yang karam di perairan Pulau Pangkor terus menemukan satu lagi mayat, menjadikan jumlah korban meningkat kepada 10 orang setakat ini, manakala empat lagi mangsa masih belum ditemui.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak dalam kenyataan memaklumkan, mayat terbaharu seorang lelaki ditemukan oleh nelayan pada pukul 7.40 malam tadi di kedudukan 3.6 batu nautika timur laut dari lokasi kejadian.
“Mayat dipindahkan ke aset Pasukan Polis Marin (PPM) PSC 16 dari vesel nelayan tempatan dan dibawa ke Jeti PPM Kampung Acheh pada 9.35 malam untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.
Operasi SAR kini memasuki hari kelima dan diteruskan bermula pukul 7 pagi tadi bagi mengesan baki empat mangsa yang masih hilang.
Dalam kejadian pada 11 Mei lalu, sebuah bot yang dipercayai membawa 37 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia dilaporkan karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor ketika dalam perjalanan menuju beberapa destinasi di Malaysia.
Setakat ini, 23 mangsa berjaya diselamatkan manakala 10 disahkan maut, termasuk penemuan terbaru tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







