Dua beranak ditahan kes eksploitasi pembantu rumah warga Indonesia
SHAH ALAM – Dua beranak ditahan polis bagi membantu siasatan kes eksploitasi buruh paksa melibatkan dua pembantu rumah warga Indonesia di Kayangan Heights, di sini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, wanita berusia lewat 50-an yang juga ahli perniagaan dan pempengaruh serta anak perempuannya berusia awal 30-an ditahan selepas dua mangsa diselamatkan.
“Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam kira-kira jam 2.30 petang Khamis lalu.
“Polis berjaya menyelamatkan dua wanita warga Indonesia berusia 48 dan 33 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ramsay, temubual dengan mangsa pertama mendapati beliau telah bekerja selama dua tahun manakala mangsa kedua bekerja sebulan dengan majikan mereka.
Mangsa mendedahkan telefon bimbit dan pasport mereka dirampas, dipaksa bekerja lebih masa, kerap dipukul serta tidak dibayar gaji sejak dua bulan lalu.
“Kedua-dua suspek direman tiga hari sehingga esok.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 13 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), yang memperuntukkan hukuman penjara tiga hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan,” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Asisten Superintendan Md Anuar Md Amilah@Harun di talian 019-2255597.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







