BERITA SEMASA

133 warga Indonesia diusir pulang selepas tinggal, bekerja secara haram di Johor

BATAM – Seramai 133 warga Indonesia berdepan detik pilu bercampur lega apabila diusir pulang ke tanah air selepas didapati tinggal melebihi tempoh dan bekerja secara haram di Johor.

Kepulangan mereka ke Indonesia melalui Terminal Feri Antarabangsa Batam Centre Point pada 28 Januari lalu disambut dengan linangan air mata, menandakan berakhirnya perjuangan mencari rezeki di seberang laut yang tidak kesampaian.

Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru, Sigit S. Widiyanto berkata, migrasi tidak teratur terus membawa kesan kemanusiaan yang besar dan sering kali tidak setimpal dengan ganjaran yang dijanjikan.

Menurutnya, kebanyakan mereka bekerja secara haram dalam pelbagai sektor dengan pendapatan rendah, selain hidup dalam ketakutan berterusan terhadap operasi penguatkuasaan.

“Perjalanan pulang mereka bukan dengan simpanan wang, sebaliknya hanya berbekalkan dokumen perjalanan sementara, kawalan keselamatan dan masa depan yang terjejas,” memetik NST online.

Kumpulan berkenaan terdiri daripada 101 lelaki, 29 wanita dan tiga kanak-kanak yang dihantar pulang dari Terminal Feri Stulang Laut, Johor Bahru selepas selesai menjalani hukuman di Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas, Pontian.

Difahamkan, kebanyakan mereka pulang tanpa sebarang simpanan apabila terpaksa menanggung sendiri kos kepulangan, selain berdepan beban hutang serta masa depan yang tidak menentu.

Turut tersenarai dalam kumpulan itu ialah 11 warga emas, termasuk seorang lelaki yang mengalami penyakit batu karang.

Sebahagian besar warga Indonesia yang dihantar pulang itu berasal dari wilayah Nusa Tenggara Barat, Jawa Timur dan Sumatera Utara, kawasan yang masih berdepan tekanan ekonomi sehingga mendorong penduduknya mencari pekerjaan di luar negara.

Setibanya di Batam, mereka diserahkan kepada pihak berkuasa penempatan pekerja migran Indonesia untuk urusan dokumentasi sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Indonesia memaklumkan lebih 6,000 warga negara itu telah dihantar pulang dari Malaysia sepanjang tahun lalu, mencatatkan angka tertinggi dalam tempoh tiga tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button