BERITA SEMASA

Sawit Malaysia lebih bersedia hadapi EUDR – Noraini

PUTRAJAYA – Industri sawit negara kini berada pada landasan lebih kukuh dalam menghadapi pelaksanaan peraturan baharu Kesatuan Eropah (EU) apabila Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menerima pengiktirafan daripada pihak berkuasa Belanda.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, pengiktirafan oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority sebagai Private Control System di bawah European Union Deforestation Regulation (EUDR) membuktikan MSPO memenuhi standard antarabangsa yang diiktiraf.

Menurut beliau, perkembangan itu memperkukuh kesiapsiagaan industri sawit Malaysia dalam aspek kelestarian, kebolehkesanan serta pematuhan rantaian bekalan global.

“Penilaian yang dilaksanakan menunjukkan MSPO boleh menyokong pematuhan EUDR. Ini mengukuhkan lagi kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang mempunyai sistem audit dan pensijilan yang tersusun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut turut membuka ruang kepada minyak sawit Malaysia yang mempunyai pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan NVWA, tertakluk kepada keperluan EUDR.

Dalam pada itu, Noraini menjelaskan Belanda memainkan peranan penting dalam perdagangan minyak sawit ke pasaran Eropah, khususnya melalui Pelabuhan Rotterdam sebagai pintu masuk utama komoditi pertanian ke rantau berkenaan.

Pelaksanaan EUDR dijangka dikuatkuasakan secara berperingkat, iaitu pada 30 Disember 2026 bagi operator besar dan sederhana, sebelum diperluaskan kepada operator kecil pada Jun 2027.

Menurut beliau, tempoh itu memberi ruang kepada industri untuk memperkukuh aspek pematuhan, audit serta kebolehkesanan termasuk bimbingan kepada pekebun kecil.

“Kementerian akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit dan pemain industri bagi memastikan sektor sawit negara bersedia sepenuhnya,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memperkukuh MSPO sebagai standard nasional yang inklusif dan berwibawa.

“Pengiktirafan ini membuktikan komitmen Malaysia dalam membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button