BERITA SEMASASUKAN

Kontrak MotoGP dilanjutkan hingga 2031

SEPANG – Kontrak penganjuran Perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilanjutkan lima tahun lagi hingga 2031.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, kontrak baharu yang berkuat kuasa tahun depan itu telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri, lapor BENAMA.

“Pembaharuan ini bukan sekadar lanjutan kepada sebuah acara sukan antarabangsa tetapi merupakan keputusan strategik kerajaan bagi memastikan Malaysia terus kekal relevan dan berdaya saing sebagai hab sukan permotoran dunia,” katanya pada satu sidang media di SIC, hari ini.

Mohammed Taufiq menambah, lanjutan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan membangunkan ekosistem sukan permotoran negara, di samping menjana peluang ekonomi menerusi penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa.

“MotoGP Malaysia merupakan aset dan pelaburan strategik negara yang memberi manfaat kepada sektor pelancongan, hospitaliti, pengangkutan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Kajian impak ekonomi menunjukkan penganjurannya pada 2024 telah menjana kira-kira RM694 juta impak ekonomi keseluruhan, mewujudkan lebih 4,400 peluang pekerjaan serta menghasilkan pulangan pelaburan sekitar 6.3 kali ganda kepada negara,” katanya.

Beliau menambah, selain memberi impak positif kepada sektor pelancongan, penganjuran MotoGP Malaysia turut menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan, kepakaran teknikal dan penyertaan dalam industri sukan permotoran yang lebih meluas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button