Sultan Selangor beri perkenan penganjuran SUKMA diteruskan – Menteri Belia & Sukan
PUTRAJAYA – Penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor dari 15 hingga 24 Ogos depan akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.
Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, baginda memberi perkenan supaya temasya tersebut diteruskan dengan langkah-langkah penjimatan dan perbelanjaan berhemah, setelah menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Khamis lepas.
“Saya amat menjunjung kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor susulan inisiatif perbincangan oleh Perdana Menteri, khususnya keprihatinan terhadap atlet-atlet muda yang wajar terus diberi peluang bertanding di peringkat tertinggi.
“Tambahan pula SUKMA 2026 ini adalah antara medan pemilihan dan persiapan atlet-atlet muda bagi membawa cabaran negara pada temasya Sukan SEA yang akan berlangsung di negara kita pada tahun hadapan,” kata Taufiq dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan perkenan Sultan Selangor berkenaan, Taufiq berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari yang mana kerajaan negeri menjanjikan kerjasama erat bagi memastikan temasya tersebut dapat dianjurkan dengan berkesan.
“Saya juga telah menerima perkenan untuk menghadap Tuanku yang dijadualkan pada Rabu (29 April) bersama-sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor untuk memaklumkan perkembangan perancangan terkini berhubung penganjuran SUKMA 2026,” kata Taufiq lagi.
Beliau kemudiannya memberitahu, sebarang maklumat tambahan mengenai temasya berkenaan akan dimaklumkan selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA diadakan.
“Satu Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dijadualkan Khamis ini (30 April) akan dimanfaatkan Sekretariat SUKMA Selangor 2026 untuk membentangkan status terkini persiapan, terutama langkah-langkah penjimatan yang akan dilaksanakan selaras dengan perkenan Sultan Selngor,” kata beliau lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







