Kementerian Belia dan Sukan anjur pertandingan cipta logo, maskot rasmi Sukan SEA 2027
KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Sekretariat Malaysia SEA Games Organising Committee (MASOC 2027) mengumumkan penganjuran pertandingan mencipta logo dan maskot rasmi sempena Temasya Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 yang akan berlangsung pada tahun 2027.

KBS berkata, pertandingan bermula hari ini sehingga 31 Disember 2025 itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia sebagai platform untuk menyalurkan kreativiti serta mencipta identiti rasmi bagi temasya sukan terbesar rantau ASEAN.
“Penyertaan boleh dihantar secara dalam talian melalui pautan rasmi yang disediakan atau dengan mengimbas kod QR yang turut diedarkan sepanjang promosi pertandingan itu.
“Pemenang akan menerima hadiah menarik iaitu RM8,000 beserta sijil bagi juara, RM5,000 untuk naib juara dan RM3,000 bagi tempat ketiga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KBS turut berkata, usaha promosi pertandingan itu turut diperkenal bersempena dengan penganjuran PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 yang berlangsung dari 28 September hingga 5 Oktober.
“Bermula peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson pada 3 Oktober lalu, penganjur telah pun mengedar kipas tangan bercetak kod QR pertandingan kepada penonton, pelajar sekolah dan orang ramai di sepanjang laluan perlumbaan,” katanya lagi.
Acara kemuncak LTdL yang berakhir di KLCC pada 5 Oktober ini turut dijadikan simbolik seruan kepada seluruh rakyat Malaysia dengan tema “Ayuh, cipta sejarah bersama!” sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran temasya berprestij itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MASOC 2027, Abdul Rashid Yaakub berkata, pertandingan itu memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada sejarah penganjuran Sukan SEA 2027.
“Pertandingan ini adalah peluang kepada rakyat Malaysia untuk mengilhamkan identiti rasmi temasya.
“Melalui kerjasama dengan LTdL, mesej ini dapat dibawa ke seluruh negara sekali gus mengajak semua pihak menyalurkan kreativiti demi kebanggaan Malaysia,” katanya lagi.
Maklumat lanjut serta penyertaan boleh dibuat menerusi pautan rasmi yang disediakan atau melalui kod QR yang diedarkan sepanjang LTdL 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















