Cucu berang dihalang keluar rumah, pukul nenek dengan tukul besi
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan mencederakan neneknya dengan parah menggunakan tukul besi dalam satu kejadian di Kampung Kuala Abang, minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Nor Iman Abdullah, 24, tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zul Zakiqudin Zulkifli.
Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, Gayah Omar, 79, dengan menggunakan tukul besi. Senjata tersebut diklasifikasikan sebagai alat yang berupaya menyebabkan kematian jika digunakan untuk menyerang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lot 707, Kampung Baru Kuala Abang, Dungun pada pukul 6.30 petang, 19 Jun lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohammad.
Mahkamah menetapkan 29 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki memukul neneknya yang berusia 79 tahun sehingga cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak agresif selepas berang kerana dihalang mangsa untuk keluar dari keluar rumah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













