Warga emas ditahan, pukul kucing hingga cedera
SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas ditahan polis selepas dipercayai menganiaya seekor kucing milik jirannya dalam kejadian di Taman Yayasan, Buloh Kasap, semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian tersebut dikesan selepas tular satu rakaman video dan beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan seekor kucing dalam keadaan cedera.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 13 Mei 2025 pada jam 11.12 pagi apabila pengadu yang merupakan seorang wanita tempatan dan pemilik kucing jenis Turkish itu ternampak jirannya sedang menolak sesuatu ke dalam longkang.
“Apabila dihampiri dia mendapati kucing miliknya berada di dalam longkang dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dipukul,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejiranan turut menunjukkan suspek memukul dan melempar kucing berkenaan ke kawasan rumah tidak berpenghuni.
Susulan kejadian, polis hari ini bertindak menahan lelaki berusia lingkungan 70-an pada jam 12.20 tengah malam dan hasil soal siasat suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut kerana berasa terganggu dengan kehadiran kucing itu.
Kes disiasat di bawah tiga peruntukan undang-undang iaitu Seksyen 428 Kanun Keseksaan Seksyen 29(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 428.
Manakala di bawah Akta Kebajikan Haiwan, hukuman boleh mencecah denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Bagi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia pula, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.
Polis Daerah Segamat menegaskan komitmen mereka dalam memerangi jenayah dan menyeru orang ramai agar terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Segamat di talian hotline 07-9324222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







