POLITIK

PRN Johor: Calon termuda anggap usia bukan faktor penghalang berkhidmat kepada masyarakat

JOHOR BAHRU – Usia muda bukan satu faktor penghalang dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Pandangan itu disuarakan Danish Hossman Abd Rahman, 23, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Menurut Danish, walaupun masih muda, beliau banyak mengambil manfaat ilmu dan pengalaman daripada orang yang lebih berpengalaman.

“Saya ini usia sahaja muda, tetapi saya tidak asing dengan kerja bersama masyarakat kerana saya juga pengerusi kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan belia.

“Idea baharu kita boleh beri, pengalaman lama kita boleh bawa… tetapi apa-apapun matlamat utama kita ialah menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bekerja dan mendengar isu rakyat. Itu yang penting,” kata Setiausaha PKR Cabang Pontian itu.

DUN Johor Lama bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH dengan Barisan Nasional (BN) yang diwakili penyandang, Norlizah Noh dan Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan Aisah Esa.

Kerusi yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Tinggi itu mempunyai 32,716 pemilih yang layak mengundi pada PRN kali ini.

Danish kemudiannya menambah, minatnya dalam bidang politik berakar umbi daripada keluarganya sendiri yang aktif bergiat dalam politik tempatan.

“Datuk saya adalah ketua UMNO, manakala bapa pula Ketua KEADILAN Pontian selama 10 tahun.

“Saya dibesarkan dalam suasana yang sentiasa didedahkan mengenai politik, ekonomi dan masalah rakyat. Dari situlah timbulnya minat saya untuk menceburi politik,” tambah Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor itu.

Beliau dalam masa sama turut menyifatkan kecekalan dan prinsip perjuangan kental Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘kompas’ politiknya yang kekal istiqamah membela nasib rakyat meskipun diasak pelbagai badai ujian.

“Kita tengok kerjaya politik beliau dari mula adalah untuk memperjuangkan hak-hak rakyat sehingga dibuang jawatan dan dipenjarakan.

“Saya datang pada zaman ekonomi lebih stabil dan ringgit semakin baik. Saya tidak merasai kesusahan dilalui beliau, namun saya sangat menghormati beliau yang bertahan selama puluhan tahun demi memperjuangkan rakyat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button