Dakwaan wujud kerjasama BN-PN tidak beri kesan kepada PH
JOHOR BAHRU – Khabar angin yang bertiup kencang wujudnya kerjasama politik tersirat antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) susulan 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak menyaksikan pertembungan antara kedua-dua gabungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak memberi kesan kepada Pakatan Harapan (PH).
Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, persepsi bahawa keadaan itu membuktikan kewujudan strategi bersama antara BN dan PN adalah tidak berasas.
Menurut beliau, daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 33 kerusi tetap menyaksikan pertembungan langsung antara BN dan PN, sekali gus menunjukkan kedua-dua gabungan itu bersaing secara terbuka.
“Terdapat sedikit kegusaran yang tercetus dari riak perbincangan dalam sebuah whatsapp berkumpulan, dengan persoalan adakah BN-PN telah bermuafakat, menyusun strategi bersama, berkolaborasi atau saling mengatur dinamik politik, apabila terdapat 23 kerusi yang tidak bertembung di antara mereka.
“Lebih menghangatkan persepsi, hantaran berita di portal Malaysiakini pun agak senada apabila tajuknya berbunyi “Abaikan 23 kerusi merupakan strategi PN beri kelebihan kepada BN di Johor”. Wah, kalau gagal dibaca dengan baik, pasti kegusaran menebal.
“Saya nak jawab mudah beginilah, tidak ada apa yang perlu dikhuatiri. Memang sejumlah 23 kerusi tidak bertembung itu agak besar angkanya berbanding 56, hampir separuh. Namun jangan dilupa 33 kerusi yang bakal menyaksikan pertembungan BN dan PN adalah jauh lebih besar.
“Malah jika dibiarkan menang 23 kerusi itu pun masih belum cukup untuk BN membentuk kerajaan. Jadi mengapa PH perlu risau?” soalnya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, daripada analisis yang dibuat, jumlah 23 kerusi yang tidak bertembung itu merupakan kubu kuat BN dan DAP.
“Maka itulah punca 23 tidak ditandingi PN, bukan sebab mereka bergabung secara halus atau bergandingan atau menyusun langkah strategi manuver politik ecentra ecentra, apatah lagi nak dikatakan membentuk Muafakat Nasional 2.0 di PRN Johor,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut mempersoalkan pengumuman calon yang dibuat oleh BN dan PN yang telah menimbulkan persoalan pengundi mengenai pergolakan dalaman parti tersebut.
Katanya, ketidakhadiran pemimpin utama BN ketika pengumuman calon dan ketidaksepakatan antara parti komponen PN membuktikan kedua-dua gabungan tersebut tidak stabil.
Justeru, katanya, pengundi perlu menolak kedua-dua parti itu dan memilih gabungan parti yang stabil bagi mentadbir Johor.
“Hanya PH yang mencerminkan kestabilan sebagai lesen awal masuk bertanding, belum lagi tunjuk manifesto dan tayang testimoni.
“BN agak tak semenggah bila mana prosesnya sampai tiga kali ditunda pengumuman calon, diumumkan pula tanpa kelibat kepimpinan utama UMNO manakala PN pula bukan lagi ‘retak menanti belah’, tetapi sudah terbelah dan berkecai, cuma disambung sementara guna gam gajah untuk PRN Johor.
“Apakah mereka ini perlu diberi peluang untuk menang pilihanraya dan bentuk kerajaan? Pasti ranap dek perebutan kuasa. Jadi persoalannya, mengapa PH perlu gusar,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













