BERITA SEMASA

USM, UKM tersenarai dalam kelompok tujuh universiti terbaik dunia

KUALA LUMPUR – Pendidikan tinggi negara terus mencatat kejayaan membanggakan di pentas antarabangsa apabila Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tersenarai dalam kelompok tujuh universiti terbaik dunia menerusi Times Higher Education (THE) Impact Rankings 2026.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, dalam penarafan tersebut, USM melonjak ke kedudukan kelima dunia, manakala UKM berada di tangga ketujuh dunia daripada lebih 1,600 universiti yang dinilai berdasarkan sumbangan mereka terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kejayaan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan institusi pengajian tinggi Malaysia sebagai antara peneraju global dalam memacu agenda pembangunan mampan melalui pendidikan, penyelidikan dan penglibatan komuniti.

“Lebih membanggakan, USM turut mengekalkan kedudukan nombor satu dunia bagi SDG 17: Partnerships for the Goals, sekali gus membuktikan keupayaan universiti tersebut memimpin kerjasama strategik dan jaringan antarabangsa yang memberi impak besar kepada pembangunan global,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya.

Menurutnya, pencapaian cemerlang kedua-dua universiti itu disifatkan sebagai hasil komitmen berterusan kepimpinan universiti, ahli akademik, penyelidik, kakitangan serta para pelajar dalam memperkasakan kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Pada masa sama katanya katanya, kejayaan tersebut juga mencerminkan keupayaan universiti-universiti Malaysia bukan sahaja dalam bidang akademik dan penyelidikan, malah dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta pelaksanaan agenda kemampanan di peringkat dunia.

“Pencapaian itu diharap menjadi pemangkin kepada usaha berterusan untuk memperkukuh kecemerlangan pendidikan tinggi negara, sekali gus mengangkat Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button