Kepercayaan penentu masa depan media, bukan siapa paling pantas tular – Prof Mohamad Salmi
PUTRAJAYA – Kandungan tular mungkin mampu meraih perhatian segera, namun kepercayaan masyarakat yang dibina dalam tempoh panjang kekal menjadi nilai paling penting dalam industri media.
Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Prof Dr Mohamad Salmi Mohd. Sohod berkata, masa depan media bukan ditentukan oleh siapa yang paling pantas menghasilkan kandungan, sebaliknya pihak yang paling dipercayai masyarakat dalam menyampaikan maklumat sahih.
Menurut beliau, organisasi media perlu mencapai keseimbangan antara kepantasan dan tanggungjawab bagi memastikan ketepatan fakta terus terpelihara dalam era ledakan maklumat dan persaingan sengit untuk menarik perhatian khalayak.
“Kandungan tular bersifat sementara tetapi kepercayaan dibina dalam jangka masa panjang. Hari ini masyarakat tidak kekurangan berita, sebaliknya apa yang semakin bernilai ialah maklumat yang boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutup pada dialog industri bertemakan Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed, Trust and Impact di sini semalam.
Mohamad Salmi berkata, perkembangan teknologi digital, ekonomi perhatian dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas telah mengubah cara berita dihasilkan, diedarkan dan digunakan, sekali gus mewujudkan cabaran baharu terhadap profesion kewartawanan.
Beliau berkata, meskipun teknologi menawarkan pelbagai manfaat termasuk meningkatkan kecekapan penghasilan kandungan dan analisis data, prinsip teras kewartawanan seperti ketepatan, keseimbangan, integriti dan tanggungjawab perlu terus dipelihara.
“Persoalannya bukan sama ada AI akan digunakan atau tidak, tetapi bagaimana teknologi ini dimanfaatkan secara bertanggungjawab tanpa mengorbankan nilai etika dan integriti kewartawanan,” katanya.
Mohamad Salmi yang juga Naib Canselor sebuah universiti swasta berkata, kajian menunjukkan individu berusia antara 18 hingga 40 tahun masih menganggap media arus perdana sebagai sumber maklumat yang lebih tepat walaupun mereka cenderung mendapatkan berita melalui media sosial disebabkan pengaruh rakan sebaya dan pencipta kandungan digital.
Menurut beliau, teknologi termasuk AI perlu dimanfaatkan untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan dipercayai khususnya kepada golongan muda yang menjadi antara sasaran utama dalam usaha mengekang penyebaran maklumat palsu.
Katanya, MCMC akan terus menyokong perkembangan industri komunikasi dan media menerusi pelbagai inisiatif termasuk memperkasakan literasi media serta meningkatkan keselamatan dalam talian.
Sementara itu, Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, organisasi media perlu menolak kecenderungan terhadap laporan sensasi dan mengutamakan ketepatan fakta serta kepercayaan awam.
Beliau berkata, walaupun perhatian khalayak kini menjadi aset bernilai dalam era digital, organisasi media perlu kekal komited dalam mendidik masyarakat, mengesahkan maklumat serta menangani penyebaran maklumat
“Proses pengesahan memerlukan masa dan kita tidak mampu bersaing dengan akaun tanpa nama yang menyebarkan maklumat tidak sepenuhnya benar. Tanggungjawab kita adalah untuk mendidik, membuat pengesahan dan kekal teguh menangani maklumat palsu,” katanya.
Yong berkata, maklumat kini menjadi alat yang amat berpengaruh dalam membentuk cara masyarakat berfikir, membuat pilihan ketika mengundi dan bertindak.
Sehubungan itu, katanya, kewartawanan perlu terus berperanan sebagai tonggak demokrasi dengan memastikan kerajaan dipertanggungjawabkan serta memberikan maklumat yang bertanggungjawab kepada rakyat.
“Masa depan bergantung terhadap keupayaan menggabungkan kecanggihan teknologi dengan kebijaksanaan manusia,” katanya.
Dalam menghadapi 2030, Yong berkata, industri perlu memberi tumpuan kepada pembinaan ekosistem media yang berdaya tahan, inovatif dan diyakini dengan mengekalkan standard etika tertinggi serta memastikan platform digital bertanggungjawab terhadap penyebaran kandungan yang memudaratkan.
Beliau berkata, kekuatan sesebuah media tidak seharusnya diukur menerusi jumlah perkongsian atau tontonan yang dicapai, sebaliknya tahap kepercayaan yang diberikan masyarakat terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







