Buruh Rohingya mengaku tidak bersalah rompak kediaman Razif Sidek
KUALA LUMPUR – Seorang buruh warga Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan merompak kediaman legenda badminton negara, Datuk Mohamad Razif Sidek dengan menggunakan sebilah pisau, bulan lalu.
Tertuduh, Mohamad Fawyas Yasin, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik Mohamad Razif, 64, dengan bersenjatakan pisau di sebuah rumah di Jalan Damansara, Taman Tun Dr Ismail pada pukul 12.20 tengah hari, 19 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh dikenakan denda atau sebatan jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha memohon agar jaminan tidak dibenarkan atas alasan kesalahan yang didakwa adalah serius selain kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) milik tertuduh telah tamat tempoh.
“Sekiranya jaminan dibenarkan dan tertuduh tidak hadir ke mahkamah, sukar untuk menjejaki keberadaannya memandangkan dia tidak mempunyai alamat tetap.
“Selain itu, tertuduh juga mengetahui alamat mangsa dan saksi, jadi dikhuatiri saksi-saksi akan diganggu,” katanya memetik laporan Bernama.
Sementara itu, peguam bela, Mansheel Kaur memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sekitar RM50 sehari selain menanggung isteri yang tidak bekerja dan seorang anak berusia 10 bulan.
Menurut peguam itu, tertuduh telah menetap di negara ini selama 15 tahun dan urusan pembaharuan kad UNHCR sedang dijalankan.
Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selepas mengambil kira ketiadaan kad UNHCR yang masih sah dan menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







