BERITA SEMASA

Jangan biar skrin sentuh jadi punca tragedi jalan raya – PHM

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar tidak terlalu bergantung kepada skrin sentuh dan sistem infotainmen ketika memandu kerana gangguan perhatian walaupun hanya beberapa saat boleh meningkatkan risiko kemalangan.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, Public Health Malaysia (PHM) berkata, perkembangan teknologi automotif yang semakin canggih telah menjadikan pelbagai fungsi kenderaan seperti penghawa dingin, muzik, navigasi, panggilan telefon dan tetapan asas bergantung kepada satu paparan digital di tengah papan pemuka.

Menurut PHM, meskipun teknologi tersebut menawarkan kemudahan dan penampilan moden, pemandu perlu sedar bahawa penggunaan skrin ketika kenderaan sedang bergerak boleh mengalihkan tumpuan daripada jalan raya.

“Dahulu banyak fungsi boleh dilaraskan hanya dengan satu tombol atau satu butang tanpa perlu berfikir panjang. Hari ini, ada perkara yang memerlukan beberapa sentuhan dan beberapa saat pandangan ke bawah.

“Beberapa saat itulah yang kadangkala membezakan antara perjalanan yang selamat dan satu tragedi,” katanya.

PHM menjelaskan, apabila pemandu perlu melihat skrin, mencari menu, membaca ikon kecil atau menekan beberapa kali untuk mengakses sesuatu fungsi, perhatian mereka sebenarnya sedang teralih daripada pemanduan.

Keadaan itu, katanya, hampir sama seperti gangguan yang berlaku apabila seseorang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

Menurut PHM, pelbagai kajian keselamatan jalan raya telah menunjukkan bahawa sebarang aktiviti yang mengalihkan mata, tangan atau fokus daripada pemanduan boleh meningkatkan risiko kemalangan.

“Ini termasuk penggunaan sistem infotainmen dan skrin sentuh dalam kenderaan terutama bagi tugasan yang lebih kompleks seperti menetapkan navigasi, menukar tetapan atau memilih fungsi tertentu ketika kenderaan sedang bergerak,” katanya.

Sehubungan itu, PHM menegaskan bahawa masalah sebenar bukan terletak pada teknologi, sebaliknya apabila fungsi yang sepatutnya mudah menjadi terlalu bergantung kepada skrin.

“Sebab itu, jangan tunggu saat cemas baru mahu sedar. Tetapkan navigasi sebelum bergerak. Pilih muzik dan laras suhu awal-awal.

“Jika perlu ubah sesuatu yang rumit, berhenti dahulu di tempat yang selamat. Kalau kenderaan anda ada fungsi kawalan suara, gunakan sebaiknya.

“Kereta boleh jadi semakin pintar tetapi keselamatan masih bergantung pada satu perkara yang sama. Mata di jalan. Tangan di stereng. Fokus pada pemanduan,” tegas PHM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button