Lelaki ‘dicekup’ ketika curi kabel landasan kereta api di Klang
KLANG – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mencuri kabel di kawasan landasan kereta api di Kilometer (KM) 36.215 Downline Klang, di sini semalam.
Menurut Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), kejadian itu dikesan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai gangguan litar landasan (track occupied) di lokasi berkenaan pada pukul 1.15 tengah hari.
Ketika insiden berlaku, anggota Polis Bantuan KTMB sedang menjalankan rondaan bersama Pasukan Taskforce D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
KTMB memaklumkan pasukan berkenaan bertindak segera ke lokasi sebelum mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang merentap dan mencuri kabel di kawasan landasan.
“Suspek berjaya ditahan hasil tindakan pantas anggota Polis Bantuan KTMB dengan bantuan Pasukan Taskforce D4 JSJ IPD Klang Selatan.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemukan beberapa gulung kabel serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan teknikal mengesahkan gangguan litar landasan yang berlaku berpunca daripada perbuatan mencuri kabel tersebut.
Suspek bersama barang rampasan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
KTMB turut merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan KTMB dan IPD Klang Selatan atas tindakan pantas mereka dalam memastikan keselamatan operasi kereta api serta melindungi aset dan infrastruktur perkhidmatan rel negara.
Menurut KTMB, perbuatan menceroboh atau merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta segera menghubungi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Pusat Pengumpulan dan Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 yang beroperasi 24 jam bagi membolehkan tindakan segera diambil.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








