BERITA SEMASA

UTM sasar lahir lebih ramai pendaki Everest, ekspedisi baharu dirancang dalam tempoh dua tahun

SEPANG – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merancang untuk melaksanakan satu lagi ekspedisi ke Gunung Everest dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai usaha meneruskan legasi kecemerlangan dan semangat juang yang telah mengharumkan nama institusi itu di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UTM, Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata, perancangan awal bagi misi tersebut sudah dimulakan termasuk proses mengenal pasti dan merekrut peserta yang berpotensi menyertai cabaran berprestij itu.

Menurut beliau, Program Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 bukan sekadar memperingati kejayaan lalu, malah menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus mencabar kemampuan diri dan mengangkat nama Malaysia di persada dunia.

“Program seperti ini dapat meningkatkan keupayaan diri, mengenali potensi sebenar, membina jati diri serta membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya pada Majlis Pelepasan Delegasi Dekad Legasi UTM Everest 2016-2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof Dr Ali Selamat; Penasihat Kehormat Legasi UTM Everest 2026, Tan Sri Dr Salleh Mohd Noor serta Timbalan Presiden Persatuan Alumni UTM, Datuk Masri Baharuddin.

Program berkenaan dianjurkan bagi memperingati kejayaan dua bekas pelajar UTM yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada tahun 2016 selepas melalui tiga percubaan yang penuh cabaran.

Sebagai sebahagian daripada sambutan sedekad kejayaan tersebut, satu ekspedisi khas akan berlangsung di China dari 3 hingga 13 Jun ini dengan menelusuri semula laluan bersejarah misi UTM Everest 2016.

Ekspedisi itu disertai wakil penggerak alumni dan pendaki Everest UTM 2016, Azim Afif Ishak bersama 15 peserta lain.

Mengulas misi akan datang, Mohd Shafry berkata, UTM menjangkakan kira-kira 10 pendaki akan terlibat pada peringkat awal sebelum jumlah itu berpotensi meningkat kepada antara 15 hingga 20 orang dengan penyertaan alumni dan peserta luar.

Beliau berharap program tersebut dapat menarik perhatian masyarakat antarabangsa selain menjadi platform mempamerkan semangat, ketahanan diri dan jati diri rakyat Malaysia.

“Yang paling penting, ia dapat menzahirkan identiti kita sebagai rakyat Malaysia dan graduan UTM yang mampu bersaing serta mencipta kejayaan di peringkat global,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button