JENAYAH & MAHKAMAH

Panji Malaysia cadang tubuh pasukan khas banteras ceti haram, sindiket ah long Singapura

KUALA LUMPUR – Tindakan penguatkuasaan lebih proaktif perlu dilaksanakan segera bagi membanteras kegiatan ceti haram atau ah long yang didakwa semakin agresif termasuk membabitkan sindiket dari Singapura yang menggunakan platform digital untuk memperdaya mangsa.

Pengarah Biro Aduan dan Banteras Ceti Haram (Banteras) Panji Malaysia, Azman Kang berkata, isu berkenaan memerlukan komitmen berterusan semua pihak termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi.

“Sindiket berkenaan bukan sahaja menggunakan taktik ugutan, malah turut memanipulasi dokumen dan identiti bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa serta memperdaya orang ramai.

“Keadaan itu menunjukkan isu ceti haram semakin kompleks dan memerlukan tindakan menyeluruh serta bersepadu daripada pelbagai agensi.

“Isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama dan semakin sukar dibendung jika tiada tindakan tegas dan koordinasi semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Panji Malaysia mencadangkan penubuhan satu pasukan khas (task force) bagi menjejaki pemberi pinjam wang tanpa lesen yang disyaki menyalahgunakan lesen di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Beliau berkata, terdapat sindiket yang berselindung di sebalik nama ‘kredit komuniti’ namun mengenakan kadar faedah melebihi had dibenarkan iaitu 12 peratus setahun bagi pinjaman bercagar dan 18 peratus tanpa cagaran.

“Ini jelas satu bentuk penipuan yang perlu dibanteras segera kerana memberi kesan besar kepada rakyat, khususnya mereka yang berada dalam kesempitan kewangan,” katanya lagi.

Azman turut berkata, Panji Malaysia bersedia menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan usaha membanteras kegiatan lintah darat berkenaan.

“Penambahbaikan perundangan juga wajar dipertimbangkan agar ruang manipulasi oleh sindiket ini dapat ditutup sepenuhnya.

“Usaha bersepadu semua pihak amat penting bagi memastikan isu ah long dapat ditangani secara tuntas,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button