BERITA SEMASA

Kenaikan geran KRT RM10,000 bukti Kerajaan MADANI perkasakan institusi perpaduan

JOHOR BAHRU – Kementerian Perpaduan Negara menyifatkan kenaikan Geran Tahunan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada RM10,000 berkuat kuasa Januari tahun hadapan sebagai inisiatif yang sangat positif dalam memperkasakan peranan komuniti.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu mengiktiraf peranan penting KRT sebagai institusi komuniti yang telah menyemai perpaduan dan kesejahteraan rakyat selama lebih 50 tahun.

Beliau berkata, melalui kenaikan geran itu, Kerajaan MADANI menzahirkan komitmen dalam menyokong gerakan akar umbi sebagai penggerak utama ke arah membina masyarakat yang harmoni dan progresif.

“Sebanyak 8,615 KRT telah ditubuhkan di seluruh negara dan terus menjadi tulang belakang kepada usaha memupuk semangat kejiranan, memperkukuh perpaduan serta memastikan kesejahteraan komuniti setempat.

“Di bawah Kementerian Perpaduan Negara, gerakan komuniti ini telah diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan kira-kira 250,000 anggota KRT, memberi manfaat kepada lebih 12 juta rakyat Malaysia, dengan pelaksanaan melebihi 100,000 aktiviti komuniti sepanjang tahun lalu,” katanya menerusi satu kenyataan.

Aaron menambah, kenaikan geran tahunan itu dijangka akan melonjakkan lagi kapasiti dan keupayaan KRT untuk melaksanakan program yang lebih berimpak tinggi.

Katanya, ia termasuk aktiviti perpaduan, pembangunan komuniti, kebajikan, pendidikan, keselamatan kejiranan, kesukarelawanan serta pemerkasaan ekonomi setempat.

“Langkah tersebut juga membolehkan lebih banyak inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dilaksanakan di peringkat komuniti.

“KRT telah membuktikan peranannya sebagai platform yang menyatukan rakyat, membina kepercayaan antara komuniti serta memperkukuh jaringan sosial yang menjadi benteng kepada keharmonian negara.

“Kementerian komited untuk memastikan peruntukan tambahan ini dimanfaatkan sebaik mungkin agar KRT terus menjadi ejen penyatuan rakyat, memperkukuh semangat Malaysia MADANI serta menyumbang kepada pembinaan negara yang aman, bersatu dan sejahtera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button