Senarai calon BN PRN Johor yang tular adalah palsu – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan kesahihan satu senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, senarai yang memaparkan nama-nama calon kononnya akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh BN.
Menurutnya, sebarang pengumuman rasmi berhubung calon yang akan mewakili BN pada PRN Johor hanya akan dibuat melalui saluran rasmi parti.
“Marilah kita berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab.
“Jangan benarkan berita palsu memudaratkan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di negeri Johor yang kita cintai,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Onn Hafiz turut mengingatkan semua parti politik, pemimpin dan penyokong agar mengelakkan penyebaran fitnah, khabar angin serta maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat menjelang pilihan raya.
Beliau berkata, dalam suasana politik yang semakin hangat selepas pembubaran DUN Johor, pelbagai bentuk provokasi dan berita palsu boleh dimainkan oleh pihak tertentu bagi mempengaruhi persepsi masyarakat.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Johor mengamalkan sikap tabayun dengan menyemak setiap maklumat yang diterima sebelum berkongsi atau mempercayainya.
“Dapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan jangan mudah terpengaruh dengan dakwaan yang belum disahkan,” katanya lagi.
Terdahulu, tular satu senarai yang didakwa memaparkan calon-calon BN bagi kesemua 56 kerusi DUN Johor, termasuk nama Onn Hafiz sendiri yang disebut akan mempertahankan kerusi DUN Machap.

Pada 1 Jun lalu, DUN Johor dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN Johor ke-16.
Dalam PRN Johor 2022, Barisan Nasional berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, sekali gus memperoleh majoriti besar di negeri itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








