Penguatkuasaan pengesahan umur bagi pengguna media sosial tepat pada masanya – Syed Ibrahim
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang mula berkuat kuasa semalam disifatkan sebagai langkah tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh keselamatan ruang media sosial negara.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pelaksanaan kod berkenaan merupakan usaha penting bagi memastikan ekosistem digital di Malaysia menjadi lebih selamat khususnya untuk kanak-kanak, remaja dan institusi kekeluargaan yang semakin terdedah kepada pelbagai ancaman dalam talian.
Menurut beliau, ibu bapa ketika ini berdepan kebimbangan nyata terhadap risiko seperti eksploitasi seksual kanak-kanak, kandungan berbahaya, penipuan dalam talian, buli siber serta pengaruh algoritma yang boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan mental dan emosi anak-anak.
“Justeru, usaha memperkenalkan perlindungan bersesuaian umur termasuk mekanisme pengesahan umur bagi pengguna bawah 16 tahun merupakan satu langkah yang wajar dan tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan penguatkuasaan CPC dan RMC, sekali gus menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.
MCMC memaklumkan CPC mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen untuk melaksanakan langkah keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk (safety by design) serta mempertingkatkan perlindungan yang bersesuaian dengan umur bagi pengguna kanak-kanak dalam persekitaran digital negara.
“Selaras dengan tanggungjawab berkanun di bawah ONSA, pemberi perkhidmatan media sosial berlesen dikehendaki melaksanakan langkah perlindungan termasuk pengesahan umur pengguna berdasarkan had umur minimum 16 tahun.
“Pengesahan umur hendaklah dibuat berdasarkan rekod yang dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia atau rekod setara yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa kompeten luar negara yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia,” jelas MCMC.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, pendekatan tersebut bukanlah satu bentuk larangan menyeluruh terhadap penggunaan internet oleh kanak-kanak.
Sebaliknya, beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan akses digital berlaku dalam persekitaran yang lebih selamat, terkawal dan sesuai dengan umur mereka.
Katanya, kanak-kanak masih boleh mengakses kandungan pendidikan dan pembelajaran digital dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga, dengan fokus utama adalah melindungi mereka daripada risiko dan ancaman dalam ekosistem digital semasa.
Syed Ibrahim turut berharap semua penyedia platform media sosial memainkan peranan lebih bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, tidak diketepikan demi keuntungan dan pertumbuhan pengguna semata-mata.
“Keselamatan kanak-kanak dalam talian bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tetapi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat termasuk ibu bapa, sekolah, komuniti dan penyedia platform digital,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Syed Ibrahim turut menegaskan sudah tiba masanya ruang internet dibina dengan lebih selamat dan bertanggungjawab demi generasi masa depan negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















