KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kerajaan rangka inisiatif bantu pengamal media depani cabaran AI, ekonomi

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti pelbagai pendekatan baharu bagi memastikan pengamal media tempatan terus mampu beradaptasi dengan cabaran industri semasa yang semakin kompleks.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, antara isu utama yang diberi perhatian termasuk perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ketidaktentuan ekonomi yang turut memberi kesan kepada sektor media negara.

Menurut beliau, sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) tahun ini hadir dalam situasi ramai pengamal media berdepan keresahan mengenai jaminan pekerjaan dan hala tuju masa depan kerjaya masing-masing.

“Tahun ini kita menyambut Hari Wartawan dalam satu suasana dengan ramai yang mungkin risau tentang pekerjaan mereka, tentang masa depan mereka akibat daripada AI dan isu-isu ekonomi.

“Tetapi Insya-Allah, di pihak kerajaan, khususnya Kementerian Komunikasi, ada beberapa perkara yang sedang diikhtiarkan untuk membantu rakan-rakan dalam bidang media,” katanya dalam ucapan sempena sambutan HAWANA 2026, hari ini.

Sambutan kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 20 Jun depan dengan membawa tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”.

Majlis berkenaan dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Pada masa sama, Fahmi berkata, kewujudan media bebas dan beretika adalah tunjang utama kepada sistem demokrasi negara.

“Media yang bebas, media beretika sangat penting, bukan hanya untuk demokrasi negara kita, tetapi masa depan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, tarikh 29 Mei diisytiharkan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

Pengisytiharan itu bertujuan menghargai peranan serta pengorbanan pengamal media dan wartawan veteran yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara serta pembentukan masyarakat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button