Hampir 2,000 meriahkan Fun Walk HAWANA 2026
KUALA LUMPUR – Hampir 2,000 peserta terdiri daripada pengamal media, ahli keluarga, wakil agensi kerajaan, rakan strategik dan orang awam menyertai program Fun Walk HAWANA 2026 yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.
Program julung kali dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia selaku agensi pelaksana itu diadakan bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Penganjuran program tersebut bertujuan menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain mengukuhkan hubungan antara pengamal media dan masyarakat menerusi aktiviti riadah berasaskan komuniti.
Acara pelepasan peserta pada pukul 8 pagi disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Abdul Halim Hamzah.
Selain acara berjalan kaki, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan sepanjang program termasuk senamrobik, cabutan bertuah, pemeriksaan kesihatan, reruai pameran, permainan tradisional serta aktiviti mewarna dan kuiz yang melibatkan penyertaan seisi keluarga.
HAWANA merupakan acara tahunan yang dianjurkan bagi menghargai sumbangan wartawan dan pengamal media terhadap pembangunan negara, di samping mengiktiraf peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berwibawa kepada masyarakat.
Penganjuran Fun Walk HAWANA 2026 turut mendapat sokongan 14 rakan strategik daripada pelbagai sektor korporat dan institusi, termasuk Pusat Perubatan Universiti Malaya, FELDA, Milo, Yakult dan ZUS Coffee.
Program tersebut diharap dapat terus menjadi platform yang menyatukan komuniti media dan masyarakat melalui aktiviti yang menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kebersamaan, selaras dengan aspirasi sambutan HAWANA 2026.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang BERNAMA merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026, Arul Rajoo Durar Raj serta Timbalan Ketua Pengarang BERNAMA yang juga Pengarah Projek HAWANA 2026, Mohd Shukri Ishak.
Sambutan HAWANA 2026 akan berlangsung di PICCA@Arena Butterworth dari 19 hingga 21 Jun ini, dengan majlis kemuncaknya pada 20 Jun dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








