Sehingga 1,000 tokong, vihara terima bantuan RM2,000 sempena Wesak 2026
KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi melaksanakan Program Sambutan Wesak Akar Umbi sempena Sambutan Hari Wesak Peringkat Kebangsaan 2026, yang bakal memberi manfaat kepada sehingga 1,000 organisasi Buddha di seluruh negara.

Menerusi inisiatif tersebut, setiap tokong, vihara dan pusat Buddha berdaftar serta diluluskan akan menerima bantuan sebanyak RM2,000 sebagai sokongan kepada penganjuran aktiviti keagamaan dan komuniti di peringkat akar umbi.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, bantuan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyokong peranan institusi keagamaan sebagai pemangkin perpaduan.
“Dalam negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, keharmonian adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipupuk secara berterusan melalui dasar, program dan interaksi harian berteraskan nilai faham, hormat, terima dan raikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Program itu dilaksanakan melalui Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Pertubuhan Perundingan Buddhis Malaysia dalam usaha memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
Menurut beliau, inisiatif itu juga selari dengan pendekatan Harmoni MADANI yang menekankan kepentingan memperkukuh hubungan antara penganut pelbagai agama.
Dalam perkembangan sama, Sambutan Hari Wesak 2026 turut akan diserikan dengan penganjuran Persidangan Kebangsaan Mengenai Prinsip Buddha dan Amalan MADANI yang menghimpunkan pemimpin agama, cendekiawan serta masyarakat sivil.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memperkukuh dialog antara agama dan nilai kebersamaan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan dan komuniti Buddha dalam memperkukuh jaringan sosial.
“Organisasi Buddha telah lama memainkan peranan penting dalam membantu golongan memerlukan, menjaga warga emas serta mengeratkan hubungan kejiranan, sejajar semangat Malaysia MADANI,” katanya lagi.
Orang ramai khususnya tokong, vihara dan pusat Buddha yang merancang sambutan Wesak tahun ini digalakkan untuk mendaftar melalui laman web rasmi yang disediakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








