[VIDEO] ZRA pulang awal dari KLIA, akui perlu ambil ubat selepas empat hari
KUALA LUMPUR – Aktivis Zainal Rashid Ahmad atau ZRA sekali lagi menjadi perhatian apabila dilapor meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) lebih awal sejurus tiba bersama delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dari Istanbul malam tadi.
Ketiadaan bekas wartawan berusia 58 tahun itu pada sidang akhbar kepulangan delegasi Malaysia mencetuskan pelbagai persoalan memandangkan beliau antara peserta terawal mengikuti pelayaran misi kemanusiaan ke Gaza sebelum ditahan tentera Israel.
Bagaimanapun, persoalan tersebut terjawab selepas kenalan beliau, Mohd Faisol Pauzi memuat naik rakaman video penjelasan ZRA menerusi TikTok lewat malam tadi.

Menerusi video tersebut, beliau yang merupakan pengasas ZRA Strim memaklumkan terpaksa pulang lebih awal kerana perlu mengambil ubat selepas empat hari tidak mengambilnya secara lengkap sepanjang menyertai misi berkenaan.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan. Kami semua selamat tiba di tanah air, cuma seorang rakan kami, Kapten Razman masih dirawat di Istanbul. Doakan untuk dia supaya segera pulih.
“Saya terpaksa balik faktor nak ambil ubat, kerana saya dah empat hari ubat tak lengkap saya makan. Insya-Allah, kalau nanti berkelapangan saya dah sihat balik saya akan mula balik live (siaran langsung) di ZRA Strim. Terima kasih,” katanya.
Ini bukan kali pertama ZRA memilih untuk tidak muncul bersama delegasi sebaik pulang daripada misi GSF.
Pada Oktober tahun lalu, beliau turut dilaporkan pulang secara senyap tanpa sebarang sambutan rasmi ketika delegasi Malaysia yang menyertai misi terdahulu diraikan di KLIA 1.
BACA JUGA:
Sumud Flotilla: ZRA pulang tanpa publisiti, enggan disanjung
Bukan sombong tapi tiada istilah popular dalam kamus perjuangan ZRA – Syahril
Selain ZRA, seorang lagi peserta, Muhammad Hareez Adzrami atau Haroqs turut dilaporkan pulang lebih awal dan tidak menyertai sidang akhbar bersama delegasi GSF 2.0 negara.
@malaysiatribune Aktivis Zainal Rashid Ahmad atau ZRA sekali lagi menjadi perhatian apabila dilapor meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) lebih awal sejurus tiba bersama delegasi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 dari Istanbul malam tadi. #malaysiatribune #beritasemasa
Terdahulu, kepulangan delegasi Malaysia dari Istanbul disambut ahli keluarga dan penyokong di KLIA 1 selepas mereka berdepan detik mencabar sepanjang misi bantuan ke Gaza termasuk diculik dan ditahan rejim Zionis.
Dalam perkembangan sama, peserta Malaysia, Razman Mat Ali dilaporkan masih menerima rawatan di Istanbul selepas mengalami ‘traumatic pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat didakwa dilayan kasar termasuk ditumbuk tentera Israel ketika dalam tahanan.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dilaporkan berkata, doktor memaklumkan tekanan udara ketika penerbangan boleh memburukkan keadaan Razman dan berisiko mengancam nyawa, selain dijangka hanya boleh pulang ke tanah air dalam tempoh kira-kira 21 hari lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








